Keberkatan harta dengan zakat

Keberkatan harta dengan zakat

LEMBAGA Tabung Haji
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Zakat adalah rukun Islam keempat dengan hukum menunaikannya adalah fardu ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib.

Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW jelas menyebut harta yang dimiliki perlu disucikan melalui zakat.

Namun, tahap kesedaran umat Islam terutama mereka yang melabur di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membayar zakat dilihat masih belum memuaskan.

Mereka lebih cakna tentang zakat fitrah berbanding zakat harta yang pelbagai kategori antaranya meliputi zakat pelaburan, zakat wang simpanan, zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Muhammad Ikhlas Rosele berkata, masyarakat hari ini lebih cenderung menunaikan zakat fitrah yang dibayar pada Ramadan dan bukannya zakat harta.

Justeru, katanya, tahap kesedaran itu belum memuaskan sedangkan hukumnya tetap wajib tanpa mengambil kira jenis zakat sama ada ia zakat fitrah atau zakat harta.

“Kedua, kutipan zakat kita belum cukup menampung keperluan asnaf, jadi aset yang besar yang kita harapkan untuk dapat zakat adalah daripada pelabur.

“Ini kerana mereka melabur daripada syarikat besar yang keuntungan lumayan berbanding zakat runcit (perniagaan).

“Jadi mereka yang boleh menampung keperluan golongan asnaf dan fakir miskin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, umat Islam digalakkan melabur dalam syarikat yang patuh syariah serta institusi yang sudah membayar zakat terlebih dahulu untuk penyimpan.

“Pelaburan yang paling baik adalah simpanan Lembaga Tabung Haji, simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pelaburan Islam yang lain.

“Bukan mengehadkan individu untuk melabur, tetapi setakat ini syarikat yang dibangunkan sepenuhnya (patuh syariah) adalah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan itu adalah lebih baik untuk pelabur memilih syarikat pelaburan patuh syariah,” jelasnya.

TAHAP kesedaran umat Islam membayar zakat belum memuaskan yang mana mereka lebih cakna tentang zakat fitrah berbanding zakat harta yang pelbagai kategori antaranya meliputi zakat pelaburan, zakat wang simpanan, zakat perniagaan dan zakat pendapatan. – GAMBAR HIASAN

Setakat ini, Tabung Haji menjadi satu-satunya institusi kewangan membayar zakat bagi pihak pendeposit dan penyimpan tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas simpanan termasuk agihan keuntungan yang diterimanya.

Selain itu, Tabung Haji sentiasa menitikberatkan kepentingan para pendepositnya dalam apa jua aktiviti perniagaan dan pelaburan yang diceburi agensi itu.

Sebagai contoh, agensi itu memastikan wang simpanan pendepositnya dilaburkan ke syarikat patuh syariah yang mematuhi kriteria yang dikeluarkan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Ia bagi menjamin pelaburannya adalah patut syariah serta memperoleh pulangan yang kompetitif demi menjamin setiap ringgit simpanan pendepositnya.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Ikhlas berkata, sekiranya syarikat itu patuh syariah, ia bermakna aktiviti syarikat itu dijamin sepenuhnya dipantau dan diuruskan dengan kehendak syarak.

“Transaksi dalam kalangan manusia tidak akan terlepas daripada tiga perkara dilarang syarak iaitu riba, judi dan urusan tidak pasti atau gharar. Tiga ini dilarang dan ia juga banyak dalam instrumen kewangan.

“Jadi pelaburan dalam institusi patuh syariah telah mengawal supaya setiap transaksi tidak melibatkan tiga perkara itu. Maka sebagai seorang muslim, mereka tidak perlu lagi fikir setiap perincian aktiviti kewangan dibuat, takut itu haram atau ini haram,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua syarikat pelaburan patuh syariah mempunyai inisiatif membayar zakat bagi pelabur mereka.

“Sepatutnya kalau syarikat mengambil inisiatif memudahkan pihak pelabur dan memudahkan institusi zakat.

“Sebab kalau institusi zakat mahu beri kefahaman kepada setiap pelabur, itu satu tugas yang sukar, jadi lebih baik syarikat yang bayar bagi pihak pelabur. Itu lebih efisien.

“Jadi tanggungjawab pela­bur mengeluarkan sendiri zakat daripada jumlah keuntungan pelaburan itu apabila mencukupi syarat mistaq dan haul. Kadar mistaq bergantung kepada negeri dan pula (pelaburan) perlu melalui tempoh setahun. Jadi 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan itu adalah kadar zakat yang dikenakan kepada pelaburan.

“Tetapi, harta manusia berbentuk tunai dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk simpanan, gaji, pelaburan atau emas. Oleh itu, untuk mencukupkan nifaq itu kena menggabungkan semua, maka baru tahu aset itu kena zakat atau tidak.

“Ada kaedah untuk kira dan perlu merujuk pusat zakat untuk lebih memahami apa maksud pelaburan yang dibuat,” katanya.

Beliau menambah, mana-mana individu yang melaksanakan zakat perlu tahu bahawa mereka dapat beroleh hikmah besar sekiranya mereka menunaikan tanggungjawab itu.

Katanya, ini kerana ia dapat membersihkan dan menyucikan harta serta menenangkan jiwa individu yang menyempurnakan zakat.

“Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud ‘tidak akan berkurang harta seseorang itu dengan membayar sedekah’, jadi banyak kelebihan boleh dapat bukan sahaja daripada aspek spiritual, tetapi aspek sosial iaitu memelihara kepenting asnaf,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya