Kastam tumpas kegiatan seludup diesel

Kastam tumpas kegiatan seludup diesel

SAZALI Mohamad (kanan) menunjukkan tangki tambahan yang diubah suai bagi menyeludup diesel untuk diseludup ke negara jiran pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kegiatan enam warga asing menyeludup minyak diesel ke negara jiran menggunakan enam buah pikap diubah suai dengan tangki tambahan berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi khas pada 29 Januari lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, kegiatan penyeludupan itu didorong harga diesel yang tinggi di negara berkenaan iaitu sehingga lebih RM4 seliter berbanding yang dijual di negara ini.

Katanya, sejumlah 1,780 liter ditemukan di dalam tangki tambahan pada kesemua pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an terbabit dengan nilai anggaran RM3,827.

“Bertindak dalam operasi khas antara pukul 7 petang hingga 8.30 malam, kita menahan kesemua kenderaan tersebut di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam. Pemeriksaan mendapati terdapat tangki khas yang dipercayai bermuatan diesel,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Sazali berkata, kenderaan pertama yang ditahan mengandungi 400 liter diesel, diikuti pikap kedua (200 liter), pikap ketiga (180 liter), pikap keempat (130 liter), pikap kelima (400 liter) dan keenam (470 liter).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cuba mengelak dengan cara penipuan dan apa-apa duti kastam atau cuba menyeludup keluar barang larangan eksport.

“Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 mengikut mana yang lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.00 mengikut mana lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. 

“Bagi kesalahan kedua, denda tidak kurang daripada 20 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 40 kali nilai barang atau RM1,000,000, yang mana lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah Sazali, dalam kes berasingan kastam turut menggagalkan cubaan menyeludup diesel menggunakan sebuah lori tangki bernombor pendaftaran asing pada pukul 11.45 pagi, 27 Januari lalu di lokasi sama.

“Lori dipandu seorang warga negara asing berusia 40-an. Hasil siasatan mengesahkan bahawa muatan dalam lori tersebut mengandungi 12,448 liter minyak diesel beranggaran RM26,764 dan nilai bagi kenderaan kira-kira RM90,000.

“Muatan diikrar dalam borang eksport Kastam No. 2 (K2), yang dikrar sebagai campuran butana yang tidak tertakluk kepada lesen eksport dan tiada duti atau cukai. Tujuannya untuk mengaburi pihak kastam dan bagi mendapatkan pelepasan terus,” katanya.

Katanya, minyak diesel tersebut dipercayai diperoleh di stesen-stesen minyak sekitar Bukit Kayu Hitam dan Changlun sebelum diseludup ke negara jiran. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya