PUTRAJAYA: Penyakit kanser adalah satu daripada lima sebab utama kematian di Malaysia ketika ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beban penyakit kanser dijangka terus meningkat disebabkan prevalen faktor-faktor risiko penyakit berjangkit yang tinggi dan populasi menua di Malaysia.
Untuk itu, beliau mengajak semua pemegang taruh untuk berganding bahu dan memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan dan pengesanan awal kanser.
“Sambutan Hari Kanser Sedunia adalah bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengambil bahagian dalam mencegah dan mengawal penyakit kanser.
“Tahun ini adalah tahun kedua bagi tema tiga tahun ‘Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser’ iaitu gerakan untuk mengajak orang ramai memainkan peranan untuk menangani jurang dalam penjagaan kanser,” katanya pada majlis pelepasan Larian Ria 2023 Hari Kanser Sedunia disertai lebih 1,500 peserta berlangsung di Institut Kanser Negara (IKN), Presint 7 di sini hari ini..
Program larian itu adalah acara penutup sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun.
Sementara itu, Pengarah IKN, Dr. Mohd Anis Haron @ Harun berkata, pihaknya melihat trend peningkatan ketibaan pesakit kanser ke IKN untuk mendapatkan rawatan awal sejak akhir-akhir ini.
“Keadaan itu sekali gus menunjukkan tahap kesedaran pesakit yang mula meningkat terhadap rawatan dan pencegahan kanser,” katanya.
Katanya, pihaknya menerima kehadiran sekitar 51,000 pesakit luar tahun lalu selain 9,500 pesakit dimasukkan ke wad untuk menjalani rawatan.
Dalam perkembangan sama, Dr. Anis berkata, IKN menerima peruntukan sekitar RM80 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini yang kebanyakannya diperuntukkan untuk bekalan ubat-ubatan kanser. – UTUSAN