Kampung 'jijik' PATI muara sungai digempur - Utusan Malaysia

Kampung ‘jijik’ PATI muara sungai digempur

PATI
SEBAHAGIAN daripada 60 PATI ditahan pasukan Imigresen dalam serbuan terhadap sebuah penempatan haram dekat Taman Perindustrian Air Hitam di Klang, Selangor, awal pagi tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibina enam tahun lalu di kawasan ladang kelapa sawit di Taman Perindustrian Air Hitam di sini, terbongkar apabila digempur pihak berkuasa semalam.

Penempatan dihuni lebih 100 warga Indonesia di 40 rumah kayu itu bukan saja kotor dan boleh mengundang penyakit, malah turut menggunakan sumber air serta elektrik dicuri.

Lebih mengejutkan, kampung yang berada di muara Sungai Langat Kecil itu turut dilengkapi kemudahan kedai runcit, surau dan tempat bercucuk tanam.

Bagaimanapun, penempatan berkenaan berjaya dihidu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menyerbu kawasan berkenaan, kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya menerusi dron dan maklumat penduduk setempat mengenai kewujudan perkampungan itu.

Menurutnya, ketika serbuan lebih 30 penghuni dipercayai berjaya meloloskan diri dengan menyusuri muara sungai berdekatan.

“Kami bagaimanapun menahan seramai 61 PATI berusia enam bulan hingga 60 tahun yang terdiri daripada 23 lelaki, 20 wanita dan 18 kanak-kanak.

“Mereka didapati tiada dokumen perjalanan sah termasuk tujuh yang memiliki SPLP (Surat Perjalanan Laksana Paspor) dikeluarkan Kedutaan Indonesia supaya pulang ke negara asal ketika pandemik Covid-19 lalu,” katanya yang mengetuai operasi itu.

Jelas Khairul Dzaimee, siasatan awal mendapati semua warga asing itu bekerja dalam sektor pembersihan dan tukang kebun.

“Pemerhatian mendapati keadaan rumah mereka amat kotor dan tidak layak didiami hingga memberi ancaman kesihatan seperti denggi, kencing tikus serta kolera. Selain mencuri air dan elektrik, tandas mereka dibina di sepanjang sungai sekali gus mengalirkan najis dan sampah,” ujarnya.

Beliau menambah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita turut akan menyiasat berkaitan status tanah itu dan isu penyewaan selain mengenalpasti ketua kampung haram tersebut. Kesemua PATI itu akan ditempatkan di Depoh Semenyih dan Bukit Jalil bagi tindakan lanjut,” jelasnya.

Tambah Khairul Dzaimee, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tindakan perobohan seperti yang dilakukan di Cyberjaya dan Nilai, Negeri Sembilan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya