PETALING JAYA: Pelakon, Uqasha Senrose memaklumkan suaminya yang juga aktor, Kamal Adli perlu ditidurkan bagi menjalani pembedahan selepas cedera parah diserang individu tidak dikenali dalam satu kejadian di Singapura, sebentar tadi.
Uqasha memberitahu, Kamal mengalami pendarahan teruk berpunca daripada lubang besar di bahagian dalam kepalanya selepas dipukul bertubi-tubi menggunakan cota.
“Suami saya, Kamal Adli ditidurkan untuk pembedahan major. Koyak berlubang sangat dalam di kepala,” kongsi pelakon itu di Instagramnya.
Terdahulu, Kamal diserang individu tidak dikenali ketika sedang bergambar bersama peminat di sebuah acara ekspo di Singapura.
Kejadian mengejutkan itu berlaku secara tiba-tiba dan penjenayah tersebut sudah diberkas selepas orang ramai menahan individu tersebut.
Kongsi pelakon itu kepada Utusan Malaysia, Kamal dipukul di bahagian kepala dan pili berkali kali dan penjenayah tersebut turut mengugut untuk mencederakan pelakon itu serta adik-beradiknya.
“Saya dan Kamal sedang bergambar dengan peminat. Tiba-tiba, ada seorang lelaki datang dan bertanya, Kamal mana.
“Kami fikir, dia peminat. Kamal tegur dia, tiba-tiba dia keluarkan cota dari poket. Dia pukul berkali-kali belakang kepala.
“Darah berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia pun ada senjata tajam,” ujarnya.
Pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu dalam pada masa sama memohon semua yang mengenali suaminya untuk mendoakan kesembuhan dan keselamatan mereka yang berada di Singapura ketika ini.