PETALING JAYA: Institut Pengajian Tinggi (IPT) diminta mengkaji semula tempoh praktikal dilaksanakan suapay ia diadakan pada semester akhir pengajian bagi mengatasi dilema pelajar yang sukar mendapatkan tempat untuk praktikal.
Profesor Adjung Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, majikan sebolehnya mahu mengambil mahasiswa yang memperlihatkan prestasi semasa praktikal untuk bekerja dengan syarikat.
Sehubungan itu beliau yang juga pemilik Gading Kencana Sdn. Bhd. berkata, sekiranya praktikal dibuat di semester akhir, tempoh itu boleh dijadikan sebagai percubaan bagi majikan, dan jika cemerlang mereka boleh terus diserap sebagai kakitangan tetap.
Pada masa sekarang katanya, pelajar yang tamat latihan amali perlu kembali ke kampus untuk sambung belajar yang mana ini menghalang majikan untuk terus ambil bekerja mereka yang cemerlang.
Tempoh latihan amali yang singkat juga katanya meletakkan majikan dalam dilema kerana ia tidak cukup untuk memberikan tanggungjawab sebenar bagi menguji keupayaan pelajar berkenaan.
“Oleh itu, pihak universiti perlu menghantar mahasiswa semester lapan, bukan semester enam seperti amalan sekarang kerana mereka perlu pulang ke kampus menyambung pengajian.
“Ia tidak efektif untuk pihak swasta membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan malah membantu mereka memiliki pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian sekali gus membantu keluarga terutamanya daripada kalangan B40 atau asnaf,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan, kira-kira 40,000 pelajar IPT sukar mendapat tempat untuk praktikal sebagai syarat sebelum menamatkan pengajian mereka.
Ini kerana tiada syarikat yang bersesuaian dengan pengajian mereka, majikan enggan membayar elaun dan menolak untuk menerima siswa bagi tempoh yang pendek kerana dikatakan tidak menguntungkan syarikat.
Guntur berkata, jangka masa praktikal terlalu pendek sekitar lapan minggu juga ternyata tidak mencukupi untuk mahasiswa mendapat ilmu ketika menjalani tempoh praktikal.
Katanya, ini kerana majikan akan kerugian mengajar ilmu yang tidak sempat dimanfaatkan dalam industri.
“Selain itu, tidak timbul isu mahasiswa atau dorongan ibu bapa yang meminta majikan menawarkan elaun yang lebih tinggi malah ada yang membandingkan kadar elaun antara majikan.
“Semasa menjalani latihan industri, insentif elaun adalah ihsan pihak majikan semata-mata untuk kebajikan mahasiswa yang sedikit sebanyak membantu kerja-kerja industri dalam proses pemindahan ilmu untuk mahasiswa.
“Oleh itu, berbaloi sekiranya mahasiswa diberi gaji minimum semasa praktikal kerana sudah boleh dikira sebagai tempoh percubaan, selepas mendapat keputusan pentaksiran latihan industri, mereka boleh diserap terus ke dalam skim gaji swasta.
“Sebagai majikan, kami sebolehnya inginkan mahasiswa yang berkarisma untuk terus bekerja dengan syarikat dalam membantu mereka memperoleh pekerjaan tetap dan membina pengalaman asas dalam memulakan kerjaya,” katanya. – UTUSAN