Kadar zakat fitrah di Pulau Pinang kekal - Utusan Malaysia

Kadar zakat fitrah di Pulau Pinang kekal

AHMAD ZAKIYUDDIN Abdul Rahman (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah & Sumbangan Ihya Ramadan Negeri Pulau Pinang Bagi Tahun 1444H/2023M di Tasek Gelugor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Kadar bayaran zakat fitrah bagi Pulau Pinang tahun ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM7, RM13 dan RM20.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, hari ini.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, jumlah terendah iaitu RM7 ditetapkan bagi kumpulan majoriti yang makan beras ‘special’ tempatan lima peratus, ‘super special’ tempatan 10 peratus, beras tempatan standard, beras tempatan premium, beras hancur, beras merah atau lain-lain yang setara dengannya.

Katanya, kadar RM13 pula dikhususkan untuk mereka yang makan beras wangi, beras pulut, beras rebus, beras import atau setara yang setara dengannya manakala kadar RM20 untuk mereka yang makan beras jenis basmathi, herba ponny, beras Jepun/Calrose atau yang setara dengannya.

“Tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan ini memberi peluang kepada umat Islam di Pulau Pinang yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah mereka dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah & Sumbangan Ihya Ramadan Negeri Pulau Pinang Bagi Tahun 1444H/2023M yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali dan Setiausaha MAINPP, Datuk Samsudin Bakar.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, menerusi amil zakat fitrah yang dilantik oleh MAINPP pada tahun lepas, sebanyak RM6.59 juta berjaya dikumpul berbanding tahun sebelumnya iaitu RM6.02 juta dengan jumlah peningkatan sebanyak 6.9 peratus.

Pada tahun ini pula, ujar beliau, ZPP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.7 juta.

“Jumlah kariah dan pusat kutipan yang dilantik oleh MAINPP pada tahun ini adalah sebanyak 237 kariah dengan jumlah amil yang ditauliahkan seramai 1,699 orang di seluruh Pulau Pinang,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, ZPP turut menyampaikan Anugerah Pengurusan Zakat Fitrah Terbaik Tahun 2022 kepada pusat kutipan yang mencatatkan prestasi cemerlang bagi kutipan Zakat Fitrah tahun 2022.

Jelasnya, anugerah itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kutipan Tertinggi, Peratusan Kenaikan Kutipan Tertinggi serta Pengurusan Fitrah Terbaik.

“Sebanyak 18 buah pusat kutipan zakat fitrah yang merangkumi enam daerah (kawasan) terpilih untuk menerima anugerah itu dengan setiap penerima memperoleh wang tunai berjumlah RM500,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Sumbangan Ihya Ramadan peringkat negeri kepada 247 buah masjid dan surau Jumaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM263,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya