Jumlah mati akibat tibi meningkat, 2,572 direkod tahun lalu

Jumlah mati akibat tibi meningkat, 2,572 direkod tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah kematian tibi di Malaysia tahun lalu meningkat 12 peratus iaitu 2,572 kematian iaitu pada kadar kematian 7.9 setiap 100,000 penduduk.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia peningkatan sebanyak 284 kematian berbanding 2,288 kematian pada tahun 2021 (kadar kematian 6.9 setiap 100,000 penduduk).

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar insiden tibi bagi Malaysia adalah 97 setiap 100,000 penduduk, namun kadar insiden yang dilaporkan di negara ini adalah lebih rendah berbanding sasaran itu.

“Bagi Malaysia, jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2022 adalah 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk).

“Ia dengan peningkatan sebanyak 3,664 kes (17 peratus) berbanding 21,727 kes (kadar notifikasi 63.5 setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.sempena Hari Tibi Sedunia.

Katanya, tema Hari Tibi Sedunia pada tahun ini adalah ‘Yes! We Can End TB!’ iaitu memberi inspirasi dan harapan kepada negara menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, bagi mengurangkan komplikasi kematian, individu yang mempunyai tanda dan gejala penyakit tibi berpanjangan perlu menjalani pemeriksaan awal.

Menurutnya, antara gejala awal termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

“Rawatan bagi penyakit tibi paru-paru adalah kombinasi ubat-ubatan antibiotik anti-tibi yang perlu diambil setiap hari selama enam bulan dan individu yang dijangkiti tibi boleh sembuh dengan mengambil rawatan yang diberikan.

“Pesakit yang berhenti mengambil rawatan dan enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342],” katanya.

Katanya, KKM juga menyarankan agar semua pesakit sentiasa mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan dan berbincang dengan penyelia rawatan jika menghadapi sebarang masalah atau kesan sampingan ubatan.

Penyakit Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara.

Majoriti jangkitan tibi melibatkan paru-paru (tibi pulmonari), namun organ lain juga boleh mendapat jangkitan seperti otak (TB meningitis), tulang (TB spine), kelenjar limfa (TB lymph node), usus (TB gut) dan lain-lain organ badan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya