KUALA TERENGGANU : Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) berjaya merekodkan hampir RM1 juta hasil jualan produk usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan promosi pakej pelancongan pada sepanjang penganjuran Karnival Beautiful Terengganu Malaysia 2023 di Padang Astaka di Kemaman, dekat sini, baru-baru ini.
Pengarahnya, Fadli Yusof Zakaria berkata, hasil jualan itu berdasarkan kutipan sebanyak RM820,000 hasil jualan yang melibatkan 80 usahawan IKS, manakala pembelian pakej promosi perkhidmatan pula hampir RM80,000 yang ditawarkan oleh 20 syarikat pelancongan terlibat.
Katanya, penganjuran karnival yang diadakan pada 23 hingga 26 Februari lalu turut memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha hotel, chalet dan homestay berdekatan serta peniaga warung dan peniaga kecil di kawasan sekitar.
“Jumlah pengunjung turut melebihi sasaran di mana pihak JPNT berjaya merekodkan kira-kira 150,000 pengunjung berbanding 100,000 pengunjung yang disasarkan.
“Pelbagai pengisian menarik dan aktiviti interaktif yang ditawarkan oleh para pemain industri, termasuk pelbagai agensi berkaitan seperti Tourism Malaysia Wilayah Timur, Majlis Perbandaran Kemaman, Pusat Sains dan Kreativiti Negeri, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Majlis Pengurusan Taman Negeri, Terengganu Inc, Jabatan Warisan dan Muzium Negeri turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Fadli Yusof berkata, kejayaan penganjuran karnival tersebut akan menjadi penanda aras bagi penganjuran seterusnya yang dilihat sebagai platform terbaik bagi penggiat industri pelancongan negeri khususnya, dalam mempromosi dan memasarkan produk dan pakej pelancongan masing-masing kepada pengunjung secara berdepan.
“Pada masa sama, ia dapat membuka ruang kepada usahawan untuk melebarkan sayap perniagaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN