Jemaah umrah kena tambah RM5,000 lagi

Jemaah umrah kena tambah RM5,000 lagi

ZULKARNAIN Endu bercakap dalam sidang akhbar menjelaskan situasi terkini jemaah umrah di Emraz Holdings Sdn Bhd, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua bakal jemaah umrah perlu bersedia membayar tambahan paling kurang RM5,000 jika berhasrat menunaikan ibadah itu sepanjang Ramadan dan Syawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zulkarnain Endut berkata, kos ekstra berkenaan adalah angka paling minimum namun masih lagi dianggap selamat setelah diambil kira pelbagai faktor semasa yang mahal di tanah suci ketika ini.

“Amaun itu hasil analisis melibatkan kira-kira 600 jemaah kami yang selesa dapat buat umrah sepanjang minggu pertama Ramadan tanpa mengalami masalah besar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Isu kos yang naik mendadak turut menyaksikan harga lantai pakej termurah dipinda pada 18 Februari lalu oleh Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) iaitu bermula pada kadar RM7,800 seorang manakala bagi pakej premium disarankan daripada RM14,000.

Jumlah ini naik berbanding masing-masing hanya RM6,000 dan RM9,000 untuk tempoh 12 hari diwartakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sejak 17 Oktober 2021.

Masalah bermula apabila kedatangan jemaah umrah tinggi dari seluruh dunia sejak November tahun lalu selepas banyak negara membuka balik sempadan mengakibatkan kos penginapan melonjak tiga kali ganda malah ada pengusaha hotel sengaja membatalkan tempahan dan mengenakan bayaran lebih mahal.

Zulkarnain berkata, senario julung kali dalam sejarah itu ekoran lebih dua tahun tertunda senarai jemaah yang telah mendaftar awal sepanjang wabak Covid-19 dan menjangkakan tunggakan ribuan jemaah itu dapat selesai paling cepat menjelang hujung suku ketiga tahun ini dan harga kembali normal.

Berdasarkan maklumat terkini diperoleh sebahagian besar operator hotel di sana sudah pun kembali ‘insaf’ diri selepas mengaut laba besar sejak Disember lepas dengan sengaja ‘main’ harga terlalu tinggi.

Walau bagaimanapun, taktik kotor itu memakan diri sendiri apabila banyak hotel dilapor kosong ekoran agensi umrah membatalkan tempahan kerana tidak mampu bayar lebih menyebabkan berlaku lebihan bilik penginapan dan senario sama dialami juga syarikat penerbangan apabila pesawat mulai kurang penumpang kerana tiket mahal.

Beliau memberi contoh ketika kemuncak pada Januari lalu, ada operator melakukan enam trip sehari ke Jeddah tetapi awal bulan ini kekerapan dikurang kepada cuma empat kali.

Harga tiket penerbangan bahkan kata Zulkarnain dijangka kembali murah selepas musim haji berakhir apabila ada beberapa syarikat bersedia menawarkan penerbangan terus susulan tindakan Kementerian Pengangkutan menambah hak pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi mengatasi isu kekurangan pesawat.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan, agensinya tetap mengutamakan kebajikan jemaah meskipun berdepan dengan cabaran getir harga tidak masuk akal pada kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya