KUALA LUMPUR: Satu Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan bagi mencari jalan keluar mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada awal bulan depan.
Katanya lagi, jawatantankuasa itu akan disertai pelbagai kementerian untuk melihat kepada langkah-langkah yang lebih komprehensif dan menyeluruh berhubung masalah kesesakan lalu lintas.
“Kabinet akan memberikan fokus yang serius kepada masalah kesesakan lalu lintas ini.
“Kita mengharap satu pendekatan lebih terancang dapat kita gunakan supaya dapat menangani isu kesesakan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang dekat sini hari ini.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Anwar dalam ucapannya memberitahu satu kerangka strategi pengangkutan bakal dilakukan Kementerian Pengangkutan pada masa terdekat.
Jelas Perdana Menteri, kerangka strategik pengangkutan awam yang menyeluruh akan dibentangkan Jemaah Menteri yang boleh dilaksanakan mengikut peringkat.
Dalam pada itu, Siew Fook berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan kepada pengangkutan pada belanjawan 2024 setelah tahun ini mengutamakan bidang pendidikan dan kesihatan.
“Untuk tahun ini fokus untuk kesihatan dan pendidikan, kerajaan diharap kepada pengangkutan tahun depan,” katanya.
Siew Fook ketika berucap pada majlis itu memberitahu, penduduk Lembah Klang terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas, khususnya pada waktu puncak pagi dan petang, ia bukan sahaja membazir masa, malah menjejaskan kualiti hidup dan mengurangkan produktiviti.
Katanya lagi, kerajaan komited memperkukuhkan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan yang lebih cekap dan efisien serta memastikan persekitaran yang lebih kondusif di dalam industri untuk mendorong daya saing ekonomi negara.
“Oleh itu, kerajaan memberi penekanan terhadap penyelengaraan aset untuk memaksimumkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada,” katanya.
Justeru kata beliau, pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer sebagai salah satu penyelesaian mobiliti.
“Warga ibu kota kini boleh memanfaatkan perkhidmatan 36 Stesen MRT dari Kwasa Damansara melalui pusat bandar Kuala Lumpur hingga ke Putrajaya.
“Tak kira dari stesen di Lembah Klang Utara atau Selatan, anda hanya akan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Ia dapat membantu jimat masa dan tenaga daripada kesesakan lalu lintas,” katanya.-utusan