Jauteh dilantik Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah

Jauteh dilantik Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah

ACRYL Sani Abdullah Sani (tengah) menyaksikan upacara serah terima tugas antara Idris Abdullah (kiri) dan Jauteh Dikun (kanan) di IPK Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah bagi menggantikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Jauteh yang kini berpangkat Asisten Komisioner pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu.

Idris yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersara wajib esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau percaya dan yakin dengan pengalaman yang diperoleh Jauteh, aspek keselamatan dan keharmonian Sabah akan terus terpelihara.

“PDRM akan mengumumkan lantikan rasmi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu tidak lama lagi.

“Hujung minggu ini akan ada mesyuarat pasukan polis yang akan membincang dan memilih serta mengesyorkan nama-nama yang akan dipilih, bukan sahaja di Sabah bahkan di beberapa tempat lain yang juga ada kekosongan.

“Sekarang banyak kekosongan perjawatan utama yang perlu diisi segera kerana ia membabitkan jawatan berbentuk pegawai pemerintah,” katanya selepas majlis serah terima tugas jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Menurut beliau, ada beberapa nama yang telah dikemukakan jadi, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat untuk diputuskan.

Dalam pada itu, PDRM juga sedang dalam proses mengenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai bagi mengisi kekosongan jawatan dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESCCOM).

Kekosongan jawatan dalam ESSCOM berlaku selepas enam pegawai dan anggota ESSCOM didakwa di mahkamah pada 8 Februari lalu atas kesalahan membunuh seorang pemandu e-hailing di Tawau.

Beliau berkata, kekosongan jawatan yang ditinggalkan telah diambil tindakan untuk proses pengisian bagi menggantikan pegawai dan anggota terlibat.

“Ini bagi memastikan perjalanan operasi ESSCOM tidak akan terjejas pada masa akan datang.

“Ada (jawatan) telah diisi dan ada yang dalam proses dikenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai untuk ditempatkan bagi perjawatan yang ditinggalkan kosong,” katanya. – utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya