PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) memandang serius tindakan mana-mana pihak yang sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukan Pejabat Perdana Menteri bagi tujuan tertentu.
Dalam satu kenyataan, PMO menegaskan, tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti pejabat itu dan institusi kerajaan.
“Justeru, pihak PMO tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk melibatkan sudut perundangan terhadap pihak yang terlibat dengan perkara sedemikian,” katanya hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendedahan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Dewan Rakyat hari ini yang mendakwa menerima ugutan daripada individu bernama ‘Deepak’ berkaitan isu telur import dari India.
Presiden MCA itu mendakwa, individu berkenaan menelefonnya semalam dan mendakwa telah berbincang dengan ‘Pejabat Perdana Menteri’ (PMO).
Ka Siong berkata, tindakan lelaki berkenaan jelas memperlekehkan institusi Parlimen dan menyalahguna nama Pejabat Perdana Menteri. – UTUSAN