PETALING JAYA: “Jangan pernah menyesal dipertemukan dengan sesiapa pun. Kerana yang buruk menyedarkan kita untuk kuat dan yang baik menyedarkan kita untuk menghargai.”
Demikian perkongsian pelakon dan pengarah, Farid Kamil mengenai kata-kata hikmah yang diulang siar semula dari akaun media sosial @jentik hati di ruangan Insta Story miliknya.
Farid sebelum ini memberitahu dia menyerahkan segala keputusan kepada pihak mahkamah berhubung konflik rumah tangganya.
Pelakon, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya sejak awal bulan ini dan kes itu disebut di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Isnin lalu.
Diana memfailkan permohonan cerai atas alasan tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dalam rumah tangga mereka.
Bagaimanapun, Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari enggan melafazkan cerai tersebut. Difahamkan, pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan pasangan itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Permohonan itu akan ditetapkan semula untuk sebutan pada 28 Mac ini.
Berita tersebut menggemparkan industri hiburan tanah air, apatah lagi mereka baru pulang mengerjakan umrah sekeluarga, akhir bulan lalu.
Pada 2016, pernah bertebaran spekulasi perkahwinan mereka goyah apabila Diana didakwa hadir ke Mahkamah Syariah, namun mereka enggan membuka mulut.
Rumah tangga mereka yang dibina pada November 2012 dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 7 tahun.