Jangan perkotak-katik UiTM - MPP - Utusan Malaysia

Jangan perkotak-katik UiTM – MPP

UiTM
PINTU masuk utama kampus induk UiTM dekat Persiaran Arshad Ayub menjadi tumpuan apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Ikatan Mahasiswa Demokratik berkumpul menyatakan bantahan terhadap larangan anjuran dialog AUKU dan isu elaun mahasiswa praktikal di UiTM Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak wajar diperkotak-katikkan dengan program anjuran daripada persatuan atau organisasi yang tidak berdaftar di bawah universiti itu.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM dalam kenyataannya berkata, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba berbuat demikian terhadap universiti berkenaan akan menerima kesan.

“MPP UiTM ingin menegaskan jangan pernah sesekali mencuba untuk memperkotak-katikkan institusi keramat ini kerana kesannya menanti. Kami berharap agar semua pihak dapat menghormati dan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi kelancaran program,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama sekumpulan anggota dipercayai daripada Ikatan Mahasiswa Demokratik berkumpul di hadapan pintu masuk utama kampus induk UiTM di Persiaran Tun Arshad Ayub menyatakan bantahan terhadap larangan mengadakan program dialog mengenai Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan isu pembayaran elaun kepada mahasiswa yang menjalani praktikal.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam kenyataannya memaklumkan, berasa kesal terhadap tindakan yang dibuat pihak universiti itu yang tidak membenarkan beliau berdialog pada malam tadi, di Dataran Cendikiawan.

Bagaimanapun, Presiden Parti Muda itu memaklumkan, ditawarkan pertemuan dalam satu sesi pada tarikh lain untuk mengadakan dialog bersama mahasiswa.

Dalam pada itu, MPP UiTM dalam kenyataan sama menjelaskan, program tersebut tidak dapat diadakan malam tadi berikutan tidak mendapat sebarang kelulusan daripada pihak universiti dan organisasi penganjur adalah tidak berdaftar di bawah persatuan universiti dan juga di luar kampus.

“Kami berjumpa dan berunding bersama Syed Saddiq dan wakil daripada Ikatan Mahasiswa Demokratik Malaysia, Saudara Ashraff Fahmy berikutan program Jelajah Mansuh AUKU yang dijadualkan di UiTM Shah Alam pada malam tadi.

“Kami kekal dengan pendirian yang teguh iaitu hanya program yang diluluskan oleh pihak universiti sahaja akan dibenarkan untuk dilaksanakan dalam kawasan kampus bagi memastikan segala kegiatan yang diadakan adalah selaras dengan nilai dan budaya universiti,” tegasnya

Bagaimanapun, tambahnya, mereka menyambut baik hasrat dan inisiatif mana-mana pihak untuk mengadakan diskusi berkenaan dasar-dasar pemerkasaan mahasiswa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya