Jangan izinkan lagi usaha punggah kekayaan cara menipu - PM

Jangan izinkan lagi usaha punggah kekayaan cara menipu – PM

ANWAR Ibrahim selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Kewangan diangkat martabatnya dan digeruni atas ketegasan amalan prinsip tata kelola baik dengan tidak lagi mengizinkan sebarang usaha memunggah kekayaan dengan cara menipu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, ini termasuk menyekat cubaan mana-mana pihak mengambil kesempatan daripada pemberian kontrak kerana perkara itu banyak berlaku sebelum ini yang dianggap satu arahan serta budaya pimpinan lama.

Beliau pada masa sama meletakkan cita-cita dalam memimpin Kementerian Kewangan sebagaimana pernah berada di tempat sama selama lapan tahun berharap kementerian itu muncul sebagai satu kementerian gagah dari segi tata kelola, kepintaran, kesungguhan berkhidmat sekali gus menjadi mercu tanda dari segi gedung dan fikrah.

“Ada yang kata ini arahan, sikap dan budaya pimpinan, saya nak kata, kita mesti bawa mesej baharu perubahan bukan hanya semata-mata slogan, konsep atau yang kita gagaskan Malaysia Madani tapi dari segi kesungguhan memulakan sesuatu kerana permulaannya adalah dari kita.

“Kalau rasa terlalu longgar dengan prinsip mengambil dana orang, nak dapat kelulusan itu boleh berunding dan sebagainya, jadi bermula dari kita (untuk mengubahnya) yang kita tidak nafikan berlaku,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau yakin dalam tempoh pentadbiran 100 hari ini, barisan kepimpinan negara dapat memberikan mesej jelas bahawa tidak ada lagi perkara-perkara yang ‘mengarut’.

Malah, kata beliau Kerajaan Perpaduan bertekad untuk bangkit membangunkan dan menyelamatkan negara sekali gus menjadikan negara hebat di rantau ini dan dunia.

Justeru, beliau mahu Kementerian Kewangan khususnya dapat berfikir dalam setiap kali membuat keputusan supaya ia mampu memberi kesan kepada masyarakat demi mengangkat martabat ekonomi, budaya, prinsip keadilan sejagat seterusnya maratbat bangsa dan negara seluruhnya.

“Saya fikir juga, saya ini Perdana Menteri, tetapi ada orang mangsa banjir makanan belum sampai, anak dia sakit nak pergi hospital perlu tunggu tiga jam, (jadi jika perkara seperti ini) ‘menyentuh’ kita, ia boleh memandu fikiran kita supaya buat keputusan betul.

“Kadang-kadang kalau ada kuasa, mungkin Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Gabenor, ketua Suruhanjaya, mesti berbeza tindakan. Sebab itu kalau ambil wang haram dengan apa alasan sekalipun derma, sedekah, rasuah atau menyalahguna kuasa, ia harus menyinggung kita,” katanya.

habis

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya