Jangan bagi sejarah hitam pada anak - Amin Idris - Utusan Malaysia

Jangan bagi sejarah hitam pada anak – Amin Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Amin Idris menegur semua artis yang berdepan masalah rumah tangga supaya tidak menjaja sebarang ‘cerita dalam kain’ khususnya sepanjang bulan Ramadan ini. 

Amin berkata, mereka juga tidak perlu melibatkan orang ramai membincangkan perihal rumah tangga secara terbuka di media sosial, sebaliknya mengajak umat Islam menumpukan hal ibadah serta memperbanyakkan amalan. 

“Jadikan Ramadan sebagai titik permulaan. Kalau ada sebarang ‘cerita dalam kain’ selesaikan secara dalaman bukan di luar rumah tangga itu sendiri.

“Buka aib suami, jaja maruah isteri dan letak di media sosial bukan selesaikan masalah, tetapi hanya menyebabkan isu makin bertambah dan melarat,” katanya. 

Sebagai selebriti dan menjadi tumpuan ramai, kata Amin, mereka perlu mengutamakan emosi, perasaan dan penerimaan anak-anak pada masa depan. 

“Bayangkan bila anak-anak sudah besar dan baca sendiri aib ayah dan ibunya di khalayak ramai, bagaimana keadaan dia di sekolah nanti? 

“Bagaimana bila sudah besar kelak? Kalau sudah berjawatan tinggi, jadi ahli politik atau ulama besar? Bukankah ia akan menjadi sejarah hitam dalam hidup mereka? soalnya.  

Pengacara televisyen, penulis dan perunding motivasi itu berkata, golongan selebriti wajar menjadikan Mizz Nina dan Noh Salleh dalam menguruskan kemelut rumah tangga.  

“Mereka adalah contoh terbaik dan wajar diberikan pujian. Ada masalah rumah tangga, sepatah pun tidak bercerita pada orang lain dan akhirnya kita pun lupa masalah perceraian mereka,” katanya.  

Lebih membimbangkan, kata Amin, apabila seorang isteri mendedahkan aib suami di media sosial sehingga menyebabkan pasangannya hilang tawaran pekerjaan. 

“Pernah atau tidak kita terfikir, kalau mahkamah arahkan bayar nafkah dan suami akhirnya tak dapat bagi sebab reputasinya sudah dirosakkan dan mencalarkan maruahnya. Disebabkan itu, syarikat produksi enggan menawarkan kerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya