SABAK BERNAM: Datuk Seri Jamal Md. Yunos berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pada pemilihan kali ini.
Beliau memenangi sebanyak 373 undi dengan menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo yang memperoleh 254 undi.
Jamal berkata, beliau bersyukur atas segala yang diberikan sama ada kepercayaan, sokongan dan penghargaan.
“Saya dengan rendah diri mengucapkan ribuan terima kasih kepada para perwakilan UMNO Sungai Besar kerana masih memilih saya.
“Alhamdulilah, saya sekali lagi dipilih menjadi Ketua Bahagian bagi penggal ini.” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Tambahnya, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan UMNO bangkit semula demi agama, bangsa dan negara.
Untuk rekod, Jamal menerajui kepimpinan UMNO di sana sejak dua penggal lalu. – UTUSAN