Jalan Jerantut-Lipis ‘tagih nyawa’ - Utusan Malaysia

Jalan Jerantut-Lipis ‘tagih nyawa’

SEBUAH lori muatan berat yang mengundur akibat hilang kuasa enjin antara kejadian kerap berlaku di Kilometer 6, Jalan Jerantut-Lipis berdekatan Kuala Tembeling di Jerantut, Pahang. - IHSAN PENGGUNA JALAN RAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Jalan Jerantut-Lipis disifatkan oleh pengguna jalan raya sebagai ‘menagih nyawa’ berikutan keadaan laluan sempit, berbukit dan bengkang-bengkok membahayakan semua kenderaan yang berulang-alik ke Lipis, dekat sini dari daerah ini.

Antara lokasi yang kerap ‘menagih nyawa’ pengguna jalan raya, iaitu kawasan berbukit dan gaung berdekatan Kampung Besul di Kilometer 16 Bukit Atap, Sungai Yap dan Kuala Tembeling.

Selain itu, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Sungai Yap dan Kampung Sepial antara lokasi kerap dinaiki banjir ketika musim tengkujuh dan menjadi penanda aras bagi penduduk di kawasan lain pesisir Sungai Pahang daerah ini bersiap sedia untuk berpindah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 42, berkata, dia yang lebih 20 tahun berulang-alik dari rumahnya bekerja di bandar Jerantut kerap menyaksikan banyak kemala­ngan membabitkan kehilangan nyawa dan kecederaan pengguna jalan raya termasuk kerosakan kenderaan.

“Sudah menjadi kelaziman pada musim tengkujuh hujung tahun, saya antara beratus-ratus pengguna jalan raya serta kenderaan terkandas di laluan berdekatan Sungai Yap, Kampung Sepial (Kuala Tembeling) dan Paya Teh kerana jalan tersebut dilimpahi banjir.

“Mohon kerajaan segera membaik pulih atau membina jajaran baharu antara Jerantut-Kuala Tembeling-Lipis tanpa ada lagi laluan berbukit, rendah serta perlu jalan lurus bagi mengelakkan kejadian kemalangan maut dan banjir,” kata­nya di Mela di sini semalam.

Seorang penduduk Kampung Besul, Abd. Halim Ismail, 66, berkata, dia kerap kali melihat lori muatan berat yang mendaki laluan berbukit berdekatan rumahnya mengundur akibat hilang keupayaan kuasa enjin sehingga terlanggar kenderaan lain di belakang.

“Senario kemalangan mengundang nyawa pengguna berpunca akibat struktur jalan berbukit dan berbahaya sewajarnya menjadi perhatian kerajaan sejak dahulu lagi,” katanya.

Abd. Halim berkata, dia senada dengan penduduk di kawasan itu bahawa perlu jajaran jalan baharu bagi mengelakkan laluan berbukit dan gaung antara lokasi yang meragut nyawa pengguna di situ.

Perkara yang sama turut dikongsi seorang penduduk Kuala Tembeling yang mahu dikenali sebagai ‘Man’ menceritakan pengalamannya apabila keretanya dilanggar sebuah lori muatan berat yang mengundur di Bukit Atap berdekatan Kuala Tembeling.

“Mujurlah saya sempat mengelak lori berkenaan dan cuma kerosakan bahagian kiri kereta sahaja, namun sejak kejadian itu saya lebih berhati-hati ketika mendaki bukit tersebut dan berhenti dahulu sekiranya ada lori muatan berat melalui kawasan itu,” katanya.

Jelasnya, sewajarnya kerajaan menaik taraf jalan Jerantut-Lipis bukan sahaja laluan ke Kuala Tembeling, tetapi jalan antara Kuala tembeling ke Mela-Kerambit-Lipis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya