JAIPk perketat larangan ahli politik mengajar di masjid, surau

JAIPk perketat larangan ahli politik mengajar di masjid, surau

HARITH FADZILAH ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memperketat program mengajar atau bersyarah di masjid dan surau di negeri ini dengan larangan khusus terhadap individu yang terlibat dengan politik.

Larangan itu diumumkan menerusi surat pekeliling bertarikh 6 Mac tahun ini yang diedarkan kepada semua jawatankuasa kariah masjid dan surau di Perak yang berdaftar dengan jabatan tersebut.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim menjelaskan, individu yang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara (Senator) dilarang mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu.

Menurutnya, larangan itu turut terpakai kepada individu yang memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik serta mereka yang pernah menjadi calon dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Tegasnya, pihaknya turut tidak membenarkan individu yang telah bersara sebagai ADUN, ahli parlimen atau senator tetapi didapati kekal aktif dalam kegiatan-kegiatan politik, mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.

“Individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada pihak JAIPk juga dilarang mengajar di masjid dan surau di Perak,” jelasnya dalam surat pekeliling tersebut yang diberi kepada media hari ini.

Menurut beliau, keputusan tersebut ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak serta memohon semua jawatankuasa kariah masjid dan surau mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan itu.

Pada masa sama, beliau meminta jawatankuasa kariah masjid dan surau sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah agar ia selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN