Isu tauliah: JAIPs akan panggil ustaz Wadi Annuar dan penganjur - Utusan Malaysia

Isu tauliah: JAIPs akan panggil ustaz Wadi Annuar dan penganjur

MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) akan memanggil pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai ustaz Wadi Annuar yang didakwa tidak mendapat tauliah untuk memberi ceramah dalam satu program di Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di sini, semalam.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendakwah berkenaan bersama penganjur iaitu Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar dikehendaki hadir bagi memberi keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April depan sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan selepas itu.

“Kita (Jabatan Mufti negeri) keluarkan tauliah dan JAIPs yang melaksanakan penguatkuasaannya malah dalam hal ini, menerusi perjumpaan dengan Exco Agama Islam negeri, pihak berkenaan (ustaz Wadi Annuar) sudah ditawarkan dan dipelawa memohon tauliah kerana kita akan nilaikan dulu, jadi dia pohonlah dulu tauliah itu.

“Kita hendak tengok juga siapa yang dia hendak ceramah tetapi dia enggan malah semasa dua perjumpaan bersama JAIPs juga sudah ditegaskan supaya minta tauliah tetapi dia tetap enggan dengan alasan ceramah itu dilakukan di premis peribadi dan sebagainya.

“Oleh demikian, apabila peristiwa ini berlaku, kita tengok ia sudah sampai ke tahap yang mana toleransi kita selama ini dianggap sebagai ruang mempersendakan peraturan apatah lagi selepas dikeluarkan titah oleh Raja Perlis dan pemerintah di negeri lain mengenai tauliah,” katanya.

Terdahulu, satu laporan turut dibuat di balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasanya dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan ustaz Wadi sewaktu ingin mengambil keterangan berhubung tindakan pendakwah itu memberi ceramah di negeri ini.

Pada 22 Mac lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut menitahkan agar pihak berkuasa agama dapat memantau dan memastikan agar setiap penceramah mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti negeri.

Titah baginda, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang ditetapkan berhubung perkara itu, siasatan dan tindakan perlu diambil terhadap penganjur serta penceramah terlibat bagi menggelakkan kesalahan itu berulang.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut mempersoalkan tindakan pendakwah itu yang tidak memohon tauliah atas alasan program berkenaan dianjurkan di premis persendirian.

“Sembang santai yang dimaksudkan ialah memberi ceramah santai kepada keluarga seperti isteri dan anak dalam skala kecil.

“Namun apabila diadakan dengan poster yang memanggil muslimin dan muslimat datang, tidak mungkin itu semua keluarga terdekatnya malah ini juga satu penghinaan kepada pemikiran kita supaya diperbodohkan dengan isu ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya