KUALA LUMPUR: Perarakan Hari Wanita menjadi tumpuan daripada blok pembangkang di Dewan Rakyat dengan mempersoal sepanduk-sepanduk serta bendera berunsur agenda lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ).
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kumpulan LGBTQ telah mengadakan perhimpunan haram untuk memperjuangkan hak mereka.
“Antara fokus yang diterapkan dalam pelan transformasi al-Falah adalah mengenai kemuliaan syariah menyentuh konteks perundangan dan kehakiman Islam. Kita melihat suatu perkembangan yang berlaku pada ini adalah perkembangan golongan LGBT.
“Semalam berlangsung perhimpunan haram LGBT di Sogo. Mereka secara terang-terangan membawa sepanduk dan bendera pelangi sebagai tanda sokongan kepada golongan LGBT.
“Mereka berani mendedahkan pendirian mereka dengan jelas malah diwajahkan dengan ucapan-ucapan dan persembahan seperti filem Mentega Terbang sebelum ini,” katanya.
Tambah Ahmad, kumpulan LGBTQ itu bergerak dengan jarum yang cukup halus dan sedang cuba menyerap masuk dalam masyarakat dengan membunuh rasa sensitiviti terhadap kesongsangan tersebut.
“Lama-lama ia akan menjadi mudah untuk diterima dan dinormalisasikan. Mereka sebaliknya menyalahkan stigma dan diskriminasi masyarakat sebagai batu penghalang kepada cita-cita jijik tersebut.
“Diskriminasi hanyalah alat mereka untuk menormalisasi aktiviti songsang itu dalam negara. Apakah tindakan yang akan diambil kepada peserta perhimpunan haram semalam kerana ia bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan termasuk dalam item sekatan perhimpunan di bawah Seksyen 15,” soalnya.
Turut membahaskan isu sama adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md. Nawi.
Jelas Fadhli, perarakan untuk wanita sepatutnya menjadi medium untuk memperkasakan kaum wanita dalam negara tetapi sebaliknya ia menjadi himpunan untuk kumpulan LGBTQ. – UTUSAN