Istiadat perbarisan Hari Tentera Darat penuh rejimental, tradisi ketenteraan 

Istiadat perbarisan Hari Tentera Darat penuh tradisi ketenteraan 

KEMENTERIAN Pertahanan meluluskan peningkatan jumlah penerima bertujuan untuk menjaga kebajikan golongan veteran ATM B40, khusus bagi meringankan beban hidup mereka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Istiadat perbarisan yang penuh dengan tradisi ketenteraan melibatkan 16 kor dan rejimen Tentera Darat Malaysia (TDM) antara kelainan yang dibawa dalam Istiadat Perbarisan dan Perutusan Sempena Hari Tentera Darat Ke-90 diadakan di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. 

Sambutan tahun lalu berkonsepkan perbarisan tempur dan demonstrasi dinamik keupayaan atur gerak dan aset-aset Tentera Darat. 

Hari Tentera Darat yang disambut setiap tahun itu merupakan acara tradisi yang dianjurkan bertujuan mengukuhkan kesatuan warga tentera darat serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

Ia selain mengenang kembali pengorbanan warga tentera terdahulu yang telah berjuang demi mengekalkan kedaulatan negara. 

Mengangkat tema sama seperti tahun lalu iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin, ia membawa maksud aspek kebajikan dan keperluan warga tentera darat menjadi fokus utama demi kelangsungan kesiapsiagaan tentera darat dalam menjaga kedaulatan tanah air. 

Istiadat perbarisan kali ini menyaksikan perarakan tujuh panji yang terdiri daripada panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD). 

Meskipun dalam keadaan hujan dan mendung, ia tidak menjejaskan istiadat perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat bersama tujuh panji diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD), Rejimen Renjer Diraja (TRD), Kor Armor Diraja (KAD) dan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan yang diketuai oleh Mejar Azizan Yahya. 

Turut diadakan adalah terbang Lintas Hormat lima pesawat yang terdiri daripada tiga pesawat A109 LOH dan dua pesawat MD 530G. 

Acara perbarisan itu dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad; Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; barisan pegawai kanan, pegawai-pegawai serta lain-lain pangkat (LLP) dari sekitar kawasan Lembah Klang. 

Panglima Tentera Darat turut berkesempatan menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN). 

Menerusi penyampaian anugerah itu, tiga penerima dianugerahkan Pisau Tentera Darat iaitu Staf Sarjan Eddyfaizam Mohd. Pakri (naik pangkat ke Pegawai Waran 2); Koperal Mac Lysander Anak Batu dan Koperal Mohd. Shafiq Abidin (naik langkat dari Koperal ke Sarjan). 

Eddyfaizam telah menemukan empat mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022, manakala Lysander dan Mohd. Shafiq mempamerkan keberanian dengan menyelamatkan seorang warga emas dan bayi berusia tiga bulan dalam banjir di Shah Alam dengan berenang sejauh 100 meter melawan arus deras. 

Istiadat perbarisan gilang gemilang itu melibatkan seramai 58 pegawai dan 1,426 anggota lain-lain pangkat (LLP) dan diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Leftenan Kolonel Mohd. Azamri Abdullah. 

Sementara itu, Zamrose dalam ucapannya berkata, fokus tentera darat untuk tahun ini akan tertumpu kepada tiga aspek utama bagi menjamin kecemerlangan terus dilakar. 

“Agenda meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga akan terus menjadi keutamaan tentera darat. Oleh itu, tema sambutan hari tentera darat yang lalu dikekalkan untuk tahun ini iaitu “kesejahteraan keluarga tentera darat diutamakan, kedaulatan negara terjamin. 

“Tentera darat juga akan terus mengukuhkan komitmen untuk membantu kerajaan dan rakyat melalui pendekatan cimic iaitu dengan memperlengkapkan pasukan dalam aspek keanggotaan dan aset yang bersesuaian untuk menghadapi bencana, membuat perancangan awal atur gerak serta mengukuhkan hubungan dengan kerajaan pusat, kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Fokus juga akan diberi dalam aspek kesiagaan dan pengukuhan organisasi tentera darat. Tentera darat perlu terus membangun dan meningkatkan keupayaannya agar sejajar dengan perubahan persekitaran semasa khususnya dalam aspek perkembangan teknologi dan siber,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya