SHAH ALAM: Isteri bekas Ketua Polis Negara, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil menafikan beliau menyebarkan tiga klip video pergaduhannya dengan suaminya, Tan Sri Musa Hassan dalam media sosial, beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau mengakui merakam video insiden berkenaan dengan tujuan untuk mempertahankan diri serta menjadi bukti yang boleh digunakannya dalam proses perceraiannya ketika ini.
“Saya tidak berniat untuk menularkan video berkenaan, apatah lagi untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pihak.
“Saya tahu mengenai penularan video tersebut daripada adik saya yang melihatnya di aplikasi TikTok,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses memfailkan penceraiannya dengan Musa di Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), di sini, hari ini.
Elly Afizahwati menambah, beliau tidak pasti individu bertanggungjawab menularkan video berkenaan, namun enggan menuduh mana-mana pihak yang membuat perkara itu.
Bagaimanapun, beliau mengecam pihak yang menularkan video tersebut kerana mendedahkan wajah anaknya.
“Pihak peguam Musa membuat laporan polis terhadap saya (berhubung penularan video itu) dan saya telah dipanggil oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi keterangan (berhubung hal terbabit).
“Saya serahkan telefon bimbit yang mengandungi rakaman insiden berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Pada waktu yang sama, saya juga membuat laporan polis terhadap Tan Sri (Musa) yang memukul saya ketika kejadian tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, Polis Kuala Lumpur mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung tiga video mirip Musa yang didakwa sedang bertengkar dengan seorang wanita disyaki isterinya, yang tular di media sosial sejak Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memberitahu, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.
Laporan itu dibuat susulan tular tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara seorang lelaki mirip Musa bersama wanita yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.
Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
Beliau turut menegaskan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang. – UTUSAN