KOTA KINABALU: Sindiket menawarkan permit masuk palsu kepada warga asing di Sabah berjaya ditumpaskan dalam satu operasi bersepadu di sini, pada Rabu.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, menerusi Operasi Bersepadu Serkap, enam suspek berjaya ditahan bersama beberapa dokumen yang disyaki palsu dalam dua serbuan berasingan di Kampung Sembulan.
“Modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan permit masuk kepada warga asing dengan bayaran antara RM100 sehingga RM 800 setiap satu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan yang dilakukan itu adalah hasil risikan dan pemantauan pegawai penguatkuasa selama hampir sebulan.
Berdasarkan siasatan, sindiket yang beroperasi sejak April tahun lalu itu telah mengaut keuntungan sekitar RM60,000 hingga RM100,000.
Katanya, dalam serbuan pertama yang dilakukan kira-kira pukul 10.35 malam di sebuah rumah di Kampung Sembulan Lama, pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 52 tahun.
“Kesemua mereka didapati memiliki permit masuk yang disyaki palsu. Dalam serbuan itu, pegawai penguatkuasa menemukan 28 keping permit masuk disyaki palsu.
“Antara dokumen lain yang ditemukan adalah 16 keping surat arahan pembayaran permit masuk, 15 keping resit pembayaran permit masuk, wang tunai sejumlah RM2,268, dua buah komputer riba, empat telefon pintar serta 28 keping borang permohonan IMM13 yang disyaki palsu.
“Selain itu, terdapat juga sekeping resit pembayaran pendaftaran MyKad yang disyaki palsu serta satu cabutan daftar Kad Pengenalan yang disyaki,” katanya.
Menurut beliau, soal siasat terhadap suspek yang ditahan membawa kepada serbuan kedua yang dilakukan kira-kira pukul 1 petang semalam di kawasan Sembulan.
Dalam serbuan kedua itu, seorang wanita berusia 59 tahun telah ditangkap dan pemeriksaan terhadapnya menemukan 18 keping resit pembayaran pendaftaran Kad Pengenalan yang disyaki palsu berserta wang tunai berjumlah RM744.
Sitti Saleha berkata, tangkapan terhadap wanita itu membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Kuala Menggatal dan pihak JIM Sabah menemukan beberapa dokumen termasuk resit rasmi pembayaran JIM, surat arahan pembayaran permit masuk, borang permohonan Kad Pengenalan beserta gambar dan borang permohonan Kad Pengenalan.
Mengulas lanjut katanya, JIM Sabah percaya terdapat seorang lagi dalang kepada sindiket berkenaan yang masih bebas di luar.
“Salah seorang suspek menjadi rujukan utama kepada mereka yang ditahan namun, kita masih menjalankan siasatan lanjut. Kita dapati masih ada lagi suspek yang berada di luar melalui perbualan dalan telefon bimbit yang dirampas,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 55D dan Seksyen 56 (1) (I) Akta Imigresen 1959/63.- utusan