Ikan kering sumber pendapatan suami isteri - Utusan Malaysia

Ikan kering sumber pendapatan suami isteri

NOR Aishah Dahari menjemur ikan kering yang telah diproses di bawah pancaran matahari di Kampung Sungai Baru, Kangar, Perlis, semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sepasang suami isteri di Kampung Kuala Sungai Baru di sini, mampu menjana pendapatan RM2,000 sebulan dengan berniaga ikan kering yang diusahakan lebih 50 tahun lalu.

Menariknya, Nor Aishah Dahari, 36, dan Mohd Asrun Abdul Rahim, 37, mula mengambil alih perniagaan ikan kering itu daripada ayahnya sejak tahun 2012 bagi mengembangkan lagi perusahaan itu yang telah sekian lama beroperasi dan turut mempunyai peminat tersendiri.

“Dalam masa sebulan, kami dapat hasilkan lebih lima tan ikan kering pelbagai jenis namun ia juga bergantung kepada stok bekalan ikan yang diperolehi daripada nelayan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Aishah berkata, pihaknya menggunakan beberapa jenis ikan bagi menghasilkan produk berkenaan antaranya seperti gelama, kembung, kebasi, talang dan pelbagai lagi.

Katanya, harga bagi ikan-ikan kering berkenaan adalah bergantung kepada jenis bermula dari RM16 sehingga RM20 untuk setiap sekilogram.

“Kami akan serahkan ikan-ikan ini kepada pemborong dan mereka kemudiannya akan mengedarkan ke kedai-kedai runcit di Kedah dan Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Aishah berkata, penghasilan ikan kering juga mengambil masa sekurang-kurang tiga ke empat hari bagi memastikan kualiti yang terbaik buat setiap pelanggan mereka.

Katanya, ikan-ikan segar yang telah diproses akan dilumurkan dengan garam dan diperam selama dua hari terlebih dahulu sebelum dijemur di bawah pancaran matahari.

“Proses jemuran juga kebiasaannya akan mengambil masa dua hari dan selepas itu barulah ikan-ikan ini boleh dipasarkan,” katanya.

Tambah Nor Aishah, dia juga turut membuka peluang buat penduduk setempat untuk menjana pendapatan tambahan menerusi jualan ikan kering berkenaan.

“Saya juga memberikan upah kepada penduduk setempat di sini untuk menyiang dan memproses ikan-ikan segar ini untuk dijadikan ikan kering. Langkah ini sekali gus membantu penduduk setempat meraih pendapatan tambahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya