‘Ijtihad’ Zahid berdasarkan kes dihadapinya - Sanusi

‘Ijtihad’ Zahid berdasarkan kes dihadapinya – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya Perikatan Nasional (PN) memiliki mudarat lebih besar berbanding Pakatan Harapan (PH) didakwa dibuat berdasarkan ijtihad berkaitan kes dihadapi Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berbanding kepentingan rakyat.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau hairan mengapa perkara sedemikian masih dibangkitkan sedangkan PH dan BN sudah sekian lama membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Ahmad Zahid berkemungkinan bimbang jika kerajaan kini tumbang berdasarkan perkembangan dalam partinya sendiri sekiranya berlaku perubahan kepimpinan.

“Mungkin pemimpin (UMNO) baharu yang dipilih nanti akan tarik sokongan terhadap kerajaan dan gabungan bersama PH jatuh. Proses itu dibenarkan undang-undang dan kita cuma harap mereka lakukan perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Sayangi Kedah Sejahtera di sini, hari ini.

Ahmad Zahid dalam program bersama sebuah stesen televisyen swasta mendakwa keputusan BN memilih PH atau PN bagi membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat dengan mengambil kira ‘kemudaratan’ mana yang lebih besar.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan kononnya beliau mempertikai kedaulatan Pulau Pinang melainkan hanya menyatakan bahawa negeri jiran itu merupakan sebuah negeri pajakan.

“Kedah nak buat apa semua dia komen, kononnya itu tak boleh ini tak boleh. Sedangkan Kedah ini negeri berdaulat yang ada kerajaan, Sultan, rakyat dan undang-undang sendiri. ‘Hangpa’ nak kacau apa sedangkan saya tak sebut pun pasal Pulau Pinang.

“Saya bukan pertikai Perlembagaan Persekutuan. Apa yang saya bangkitkan adalah isu-isu tentang entiti yang membentuk kedaulatan dan itu adalah asas kepada ilmu politik. Saya cuma nyatakan apakah perkara yang membentuk kedaulatan sesuatu negeri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi tetap mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi taklimat serta penjelasan mengenai projek Kedah Aerotropolis yang turut melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Katanya, hasrat itu tidak pernah padam kerana beliau mahu menjelaskan kepada Anwar agar memahami Kedah Aerotropolis kerana parti yang memimpin kerajaan Pulau Pinang dan sering membantah projek tersebut sememangnya sehaluan dengan Perdana Menteri dari aspek politik.

“Jangan ambil dari satu pihak saja sebab Pulau Pinang ada persepsi yang kita mahu ganggu dan saingi mereka. Kita nak bentangkan bahawa apa yang diusahakan tidak lagi tertumpu kepada terminal penumpang kerana Pulau Pinang takut orang ramai naik penerbangan di Kulim dan tak lagi ke Bayan Lepas. Kita kini beri tumpuan kepada kargo. 

“Hanya itu caranya (adakan pertemuan) dan Perdana Menteri sebelum ini pun saya jumpa bersama konsultan. Hasrat bertemu Anwar tak pernah luput dan beliau bagi saja tarikh, saya akan pergi,” katanya.

Muhammad Sanusi turut memberitahu, beliau langsung tidak dimaklumkan mengenai kehadiran Perdana Menteri ke Alor Setar untuk menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah semalam sebaliknya hanya mengetahui kehadiran Anwar melalui Facebook.

“Saya nak ketawa sajalah dan mungkin saya dipersalahkan kerana kononnya menjadi punca tak harmoni. Tetapi apabila rakyat tengok semua ini, mereka boleh nilai sendiri dan saya tak mahu kata apa-apa,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya