ARAU: Barisan kepemimpinan baharu sayap UMNO yang menang dalam pemilihan parti itu perlu melipat gandakan usaha dalam kembali menarik sokongan rakyat terhadap parti itu.
Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, kepemimpinan perlu ‘menjuarai’ hati rakyat dengan lebih kerap turun padang mendekati akar umbi.
Katanya, langkah itu cukup penting khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh terdekat.
Dalam masa sama, katanya, para pemimpin termasuk yang kalah dalam pemilihan tidak perlu kecewa sebaliknya perlu kembali bersatu dalam usaha mengukuhkan parti.
“Pemilihan melibatkan sayap-sayap parti baru-baru ini menunjukkan hasrat akar umbi dalam memilih barisan kepemimpinan. Kemenangan pemimpin tersebut adalah berdasarkan pilihan akar umbi,” katanya di sini hari ini.
Dalam pemilihan UMNO kelmarin, parti itu menerima Ketua Pemuda dan Ketua Puteri baharu selepas Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berjaya menewaskan pencabar masing-masing.
Pada pemilihan Pemuda UMNO sesi 2023-2026 itu, Muhammad Akmal menewaskan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah merangkap Ahli Parlimen Paya Besar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.
Nurul Amal pula telah mengalahkan calon lain termasuklah Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin yang merupakan penyandang Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Masliha Harun, Fadwah Anuwar serta Nurul Hazwani Haslan.
Manakala Datuk Dr. Noraini Ahmad berjaya mengekalkan jawatan Ketua Wanita UMNO untuk penggal kedua selepas mendapat undian daripada 106 bahagian, sekali gus mengatasi pencabar tungggalnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga pernah menerajui sayap UMNO itu.-UTUSAN