JEMPOL: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol sedang mencari ibu kandung bagi seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Aliff Abdullah, 4.
Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat yang juga Pelindung Kanak-Kanak Daerah Jempol, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol, Siti Hajar Mohiddin berkata, ibu kanak kanak-kanak itu diminta tampil bagi menyelesaikan urusan dokumen dan penempatan kanak-kanak tersebut.
“Kanak-kanak bernama Muhammad Aliff Abdullah berusia empat tahun tiga bulan telah tamat perintah di lnstitusi Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 24 Februari lalu.
“Kanak-kanak ini telah diselamatkan seperti peruntukan di bawah Seksyen 17( 1 )( d) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ketika ini berada dalam jagaan sementara kepada orang yang layak dan sesuai.
“Memandangkan kes ini belum selesai siasatan, pelindung telah memohon kebenaran dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Bahau untuk membuat suatu siaran media seperti di bawah peruntukan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas kanak-kanak bertujuan mengesan ibu kandung kanak-kanak itu,” katanya.
Siti Hajar berkata, sehubungan itu pihaknya boleh dihubungi menerusi nombor 06-4581400 dan ibu kanak-kanak itu perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Jempol di Bandar Seri Jempol di sini. – UTUSAN