BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang wanita golongan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran berusia 20-an yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks oleh ibu dan bapa tirinya sendiri.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, wanita berkenaan diselamatkan selepas polis menyerbu sebuah rumah di Desa Wawasan, Jalan Tembikai 2, di sini menerusi Op Pintas pada 15 Mac lalu.
Menurut beliau, ibu dan bapa tiri mangsa kini ditahan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 14 Atipsom 2007.
“Kedua-dua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 14 Atipsom 2007 dan Seksyen 15 Atipsom yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 peringkat negeri di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), di sini hari ini.
Menurut Fisol, operasi menyelamatkan wanita OKU pembelajaran itu merupakan antara kejayaan kontinjen polis Pulau Pinang bagi suku tahun ini sejak Januari lalu.
Selain kes itu, ujar beliau, pihaknya turut berjaya menahan seramai 16 lelaki dan empat wanita warga asing yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini menerusi jalan tidak sah.
Ujar beliau, kesemua warga asing berusia antara 15 hingga 36 tahun itu ditahan ketika serbuan di Jalan Samagagah, Mak Mandin, di sini menerusi Op Pintas pada 5 Januari lalu.
Tambah beliau, polis Pulau Pinang pada 1 Januari lalu juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di Jalan Berjaya dekat sini yang dipercayai terlibat dalam enam kes samun bersenjata api bersama seorang lagi suspek yang telah ditahan di sekitar SPT dan Seberang Perai Utara (SPU).
“Turut dirampas bersama lelaki itu dalam Op Api Hours tersebut adalah sepucuk pistol Revolver jenis .38 beserta beberapa butir peluru.
“Suspek juga telah dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,”
katanya.
Secara keseluruhan juga, tambah beliau, polis kontinjen Pulau Pinang mencatat penurunan kadar jenayah indeks sebanyak 413 kes atau 44.1 peratus bermula Januari hingga Mac tahun ini.
Jelasnya, ia berdasarkan kiraan nilai ambang bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Februari lalu iaitu sebanyak 937 kes berbanding pencapaian hanya 524 kes.
“Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak 1,347 kertas siasatan telah dibuka dan sejumlah 733 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah menunjukkan peningkatan pertuduhan sebanyak 100 kes atau 15.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya. – UTUSAN