KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara meluluskan usul melantik pengasas dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, 68, sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu.
Cadangan pelantikan Hussin itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mewakili negeri ini untuk tempoh dua tahun.
Pelantikan Ahli Dewan Negara yang baharu itu dibuat selepas Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali memaklumkan mengenai usul Pemilihan Ahli Dewan Negara baharu selepas terdapat kekosongan jawatan tersebut yang sebelum ini disandang Nuridah Mohd. Salleh.
Hussin yang juga Pengerusi Tetap Pas Pusat dan Timbalan Ketua Lujnah Dakwah Pas Pusat mendapat pendidikan Diploma dalam Sains dan Pendidikan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM).
Beliau adalah pengasas kepada rangkaian sekolah tahfiz ‘fast track’ Akademi Al-Quran Amalillah dan pengasas Ahli Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau.
Anak kepada pasangan guru agama dan guru Al-Quran itu juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu pada tahun 2020.
Hussin ketika ditemui pemberita sejurus selepas pelantikan itu berkata, beliau akan memberi khidmat terbaik dalam membawa agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di Dewan Negara.
“Sudah pasti, pengalaman yang saya ada sepanjang terbabit dalam misi kemanusiaan sebelum ini akan digunakan sepenuhnya untuk manfaat rakyat,” katanya. – UTUSAN