SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa segera mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) selepas tindakan tersebut dipercayai tertangguh hampir dua tahun lalu.
Ini kerana, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, sebelum ini pernah memaklumkan untuk mewartakan semula hutan tersebut selepas menerima pelbagai bantahan termasuk daripada penduduk yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli di sana.
Menurut Penyelaras Gabungan Pertahan HSKLU (GPHSKLU), B. Suresh Kumar, beliau dan penduduk kampung Orang Asli tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pewartaan semula tidak dilakukan.
“Sudah 18 bulan tertangguh, justeru kami sepakat menuntut Menteri Besar segera mewartakannya semula sebelum 31 Mei 2023. Kami bimbang kawasan hutan terbabit akan terus diteroka oleh pihak tertentu atas pelbagai alasan seperti projek pemasangan paip.
“Janji untuk mewartakan semula HSKLU dibuat sekian lama oleh kerajaan negeri, namun tiada tindakan proaktif untuk merealisasikannya,” katanya ditemui hari ini.
Terdahulu kira-kira 10 hadir pada hadir bersama ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 10.30 pagi tadi bagi menyerahkan surat tuntutan kepada Menteri Besar untuk mewartakan semula HSKLU.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU menerima bantahan daripada penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru, yang bimbang kediaman dan hutan tempat mereka mencari rezeki diancam pembangunan.
Walaupun hutan tersebut pernah didakwa sebagai terosot akibat masalah kebakaran serta dihimpit pembangunan di sekelilingnya seperti Cyberjaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya.
Dalam pada itu, Suresh Kumar menyatakan, Amirudin pernah beberapa kali menyatakan HSKLU akan diwartakan semula sejak Disember 2021 termasuk memberi jaminan akan melaksanakannya sebelum Hari Raya Aidilfitri pada Mei tahun lepas.
“8 April tahun lalu Pejabat Menteri Besar Selangor mengeluarkan satu kenyataan media di mana Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk mewartakan semula HSKLU.
“Rakyat marhaen dan komuniti tempatan yang kian hari terjejas oleh bencana iklim dan masalah ekonomi tidak wajar dibalas tuba dengan penyebelahan golongan kapitalis dan pelabur swasta setelah dijanjikan HSKLU akan diwartakan semula sejak Disember 2021.
“Kerajaan Negeri Selangor harus ingat, rakyat bawahan tidak memilih pemimpin berdasarkan bilangan poster dan gambar pemimpin yang dipaparkan di media sosial dan di tepi simpang Jalan,” tegasnya. – UTUSAN