Hilang minat jadi jurutera, Jalal Zaiki terjun mengacara - Utusan Malaysia

Hilang minat jadi jurutera, Jalal Zaiki terjun mengacara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT yang menebal terhadap dunia pengacaraan membuatkan pengendali program Salam Pagi di TV1, Jalaluddin Mohd. Zaiki atau Jalal Zaiki rela melepaskan bidang kejuruteraan demi mengejar impian bergelar pengacara.

Kata graduan University College London ini, keputusan yang diambil untuk berkecimpung dalam dunia penyiaran adalah tepat memandangkan minat terhadap bidang kejuruteraan mulai pudar.

“Saya pernah tanya diri sendiri, rugikah saya sekiranya tidak bekerja dalam bidang kejuruteraan? Sebenarnya, selepas tamat pengajian, saya sempat bekerja selama tiga tahun dalam bidang ini. 

“Dalam tempoh  itu, saya sedari tidak lagi berminat terhadapnya. Perasaan itu lebih dirasakan apabila setiap hari berhempas pulas mencari motivasi untuk bangun dan pergi bekerja.

“Kemudian, saya ditawarkan menjadi pengacara. Peluang mengac­arakan program dakwah dan berkonsep Islamik tidak wajar saya lepaskan. Kena pula dengan minat saya,” katanya kepada Pancaindera.

Diminta mengulas tentang cabaran, Jalal sebagai pengacara atau pengendali program berkata, peranannya lebih terarah untuk mencorakkan program yang dikendalikan agar tampak menarik dan mesra penonton.

“Saya, selama ini banyak mengendalikan program formal yang dirakam di dalam studio seperti Tadabbur Al-Quran dan Carta 114 TV Alhijrah.

“Jadi cabarannya adalah dari sudut penyampaian yang lain daripada kebiasaan. Lebih kepada macam mana hendak tarik penonton kepada program agama yang kontemporari dan moden,” katanya lagi.

 Rezeki mahir bertarannum

Jalal tidak pernah menyangka kemahiran dalam bidang tarannum yang dikuasainya sekian lama menjadi asbab kepadanya untuk melangkah ke dalam dunia lakonan.

Kemunculan Jalal dalam telemovie Mistik Bilik Mayat arahan Rashid Sibir yang ditayangkan di TV Alhijrah menjadi titik pencapaian baharu kepada anak muda ini.

“Kebetulan, watak itu memerlukan pelakon yang boleh bertarannum. Alhamdulillah, saya ada kemahiran itu meskipun tiada asas dalam lakonan.

“Saya anggap tawaran ini sebagai satu tanggungjawab. Lebih afdal bagi saya, yang ada asas bertarannum menggalas peranan ini, berbanding melepaskannya kepada mana-mana individu yang tiada asas tersebut” katanya.

Kata Jalal lagi, terdapat beberapa perkara lain yang membuatkan dia bersetuju untuk berlakon dalam telemovie terbabit. Antaranya adalah konsepnya, yang menggabungkan seram dan Islamik. 

“Seperti yang kita semua maklum, stesen TV ini amat menjaga peraturan dan hukum agama, termasuk batas pergaulan pelakon lelaki dan perempuan serta hal ehwal penjagaan aurat dalam mana-mana kandungan yang dipaparkan. 

“Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip itu, saya selesa dan merasakan tiada masalah untuk berlakon di dalam drama ini,” ujarnya. 

Disoal sama ada akan meneruskan kerja lakonan di masa akan datang, kata Jalal, ia bergantung kepada jenis tawaran yang diterimanya.

“Tengok kepada tawaran yang datang. Kalau bertentangan dengan prinsip yang saya pegang, mungkin saya tolak. Tetapi kalau tidak melanggar prinsip agama, Insya-Allah akan saya pertimbangkan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya