MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 45 tahun, Steven Tan Kim Huat yang hilang dipercayai sesat di Bukit Beruang di sini Selasa lalu, telah dihentikan semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pos kawalan tempat kejadian (PKTK) telah ditutup pukul 3 petang, selepas operasi yang dijalankan hampir tiga hari itu gagal menemukan sebarang petunjuk.
Beliau berkata, kesemua pelosok kawasan Bukit Beruang dengan anggaran keluasan pencarian mencecah 40 hektar telah diperiksa anggota SAR, namun tiada sebarang penemuan yang membawa kepada keberadaan mangsa.
“Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan pencarian secara berkala dari masa ke semasa dan akan memberi maklumat, jika terdapat perkembangan terbaharu.
“Polis memohon jika orang ramai atau masyarakat yang menemui mangsa, boleh menghubungi atau memaklumkan kepada pihak berkuasa berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di sekitar Bukit Beruang mendakwa terdengar jeritan meminta tolong dari arah puncak bukit dipercayai oleh mangsa.
Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, suara didengari penduduk itu bagaimanapun belum cukup membantu bagi mengesan keberadaan Steven.
Beliau berkata, jeritan meminta tolong itu dikatakan didengari mereka kira-kira pukul 8.00 malam pada hari mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya.
Menurutnya, pasukan SAR turut dimaklumkan bahawa mangsa mengalami masalah kesihatan, seterusnya ada memakan ubat sebelum memulakan pendakian. – UTUSAN