PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Hattan menegaskan dirinya sangat tidak gemar dengan penggunaan bahasa slanga yang sudah menjadi satu kelaziman dalam kalangan orang muda hari ini.
Lebih menyedihkan, katanya, apabila bahasa itu menjadi bahan komersial bagi stesen radio sehingga menjadi ikutan pendengar.
“Contohnya, kita komersialkan ‘apa khabar korang’. Kalau dahulu bercakap begitu sudah kena tegur dengan emak kita.
“Sekarang, ‘korang’ (kau orang) itu sudah menjadi komersial sama juga seperti juruhebah radio cakap ‘hai korang’. Bila mereka cakap seperti itu, kita pun terima dan budak muda fikir tiada apa-apa. Kalau zaman dahulu ia dianggap kasar sebab mak kita pun tak suka,” katanya.
Penyanyi lagu Rendang Tak Berbuah itu berkata, dia berpegang kepada prinsip dan tidak membenarkan anaknya sama sekali menggunakan bahasa slanga seperti itu dalam pertuturan seharian.
“Sekarang ini zaman digital memang susah nak ubah budaya itu, tetapi saya tetap pesan pada anak jangan bercakap seperti itu,” katanya.
Mengulas tentang durasi sesebuah lagu yang disiarkan di radio atau televisyen, anak jati Negeri Sembilan itu berkata, lagu yang disiarkan hari ini susah melekat di minda pendengar disebabkan terlalu banyak pemotongan dilakukan.
Mengakui ia adalah tuntutan masa kini, katanya, lagu yang diputarkan sekarang lebih sekadar memenuhi slot sahaja.
“Ini jadi satu masalah juga sebab apabila banyak lagu yang dipotong sehingga jadi dua minit lebih sahaja, ia akhirnya tidak lagi menjadi sebuah lagu.
“Kalau empat minit lebih mungkin radio tak nak pasang. Jadi, saya lihat perlu ada toleransi supaya penceritaan lagu itu sampai. Kadang-kadang tak sempat sampai bahagian korus lagu pun dah habis.
“Kalau dahulu, sekalipun lagu ‘kampung’ sampai menangis kita dengar. Contohnya seperti lagu nyanyian saya Taman Rashidah Utama berdurasi tujuh minit. Pendengar tetap boleh layan sebab kandungan liriknya yang bagus,” katanya.