KUALA LUMPUR: Hari Kraf Kebangsaan (HKK) menyasarkan nilai jualan tahun ini berjumlah RM16 juta dengan jangkaan 185,000 pengunjung hadir ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur serta beberapa negeri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, HKK tahun ini membawa tema ‘Ini Kraf Malaysia’ bagi menyuntik kesedaran dan kecintaan masyarakat.
Katanya, pada masa yang sama, masyarakat boleh menambah pengetahuan terhadap produk kraf keluaran tempatan.
Menurutnya, ‘Kraf Identiti Malaysia’ dipilih sebagai konsep HKK bagi mengetengahkan penghasilan produk kraf pelbagai kaum.
“HKK menghimpunkan penyertaan usahawan kraf dalam bidang kraf tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf seluruh negara melalui penyertaan seramai 550 orang usahawan dan komuniti kraf.
“HKK turut dipanjangkan melalui Festival Kraf Kebangsaan 2023 di pusat beli-belah terpilih di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Sarawak sehingga bulan April,” katanya ketika perasmian Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
King Sing berkata, terdapat beberapa pameran sepanjang HKK ini antaranya MYCRAFTSHOPPE iaitu suntikan inspirasi dan idea untuk penggunaan produk kraf yang berkonsepkan gaya hidup.
Selain itu, katanya, HKK memaparkan rekaan produk kraf baharu yang merangkumi halaman luar, ruang anjung, ruang tamu dan tekstil serta hasil kajian iaitu hasil tanah, rimba dan logam, songket serta clay dan linut.
Katanya, terdapat juga demonstrasi perkongsian pengalaman kepada masyarakat untuk mengenali Adiguru Kraf dengan melihat secara terus teknik pembuatan produk kraf.
“HKK turut mengetengahkan demonstrasi masakan kuih tradisional menggunakan pelbagai kaedah masakan bagi kuih badak kubang, pulut tekan, putu beras, kuih bakar berlauk, tumpik, akok dan kuih penyaram.
“Persembahan kesenian turut diadakan seperti tarian tradisional zapin, joget, tarian India dan Cina, tarian etnik Sabah dan Sarawak serta tarian topeng Orang Asli. Terdapat juga kumpulan nyanyian Balle Balle dan Buskers,” ujarnya.
Pengunjung yang berminat boleh merasakan sendiri pengalaman melakukan kraf dengan membuat batik ikat dan celup, mini cooper tooling, batik lukis, seramik atau seni tampil selit dengan sendiri (DIY).
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia berharap rakyat Malaysia terus menyokong dan membeli produk keluaran tempatan bagi membantu usahawan kraf meningkatkan pendapatan dan sekali gus dapat memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing.
“Orang ramai dijemput berkunjung dan memeriahkan Hari Kraf Kebangsaan,” ujarnya. – UTUSAN