Harga minyak masak tulen kekal

Harga minyak masak tulen kekal

HARGA minyak masak sawit tulen kemasan botol dikekalkan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak kelapa sawit tulen untuk tempoh bermula hari ini sehingga 7 April depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi kenyataan memaklumkan, ia adalah komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga bagi mengelakkan kesan kepada pengguna.

Katanya, selain pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah, turut diteruskan adalah peranan kerajaan menerusi KPDN yang menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen kemasan botol bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.4) 2023.

“Secara umumnya, terdapat sedikit kenaikan harga minyak sawit mentah untuk bulan Februari berbanding bulan sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan rundingan diadakan sebelum ini, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga minyak masak kelapa sawit tulen,” katanya hari ini.

Jelas KPDN, harga runcit maksimum bagi tempoh tersebut adalah RM6.90 bagi kemasan botol satu kilogram (kg), RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 bagi 5 kg.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Individu boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya