JAKARTA: Selepas 30 tahun beroperasi, Hard Rock Cafe di Jakarta yang terkenal sebagai lokasi yang menyimpan koleksi peribadi milik pemuzik terkenal seluruh dunia akan ditutup secara rasmi bermula 31 Mac depan.
Pengarah Urusannya, Agaverus Hutagalung berkata, rangkaian kafe dan bar bertemakan rock n roll itu ditutup kerana tidak melanjutkan tempoh sewa.
“Saya ingin jelaskan tiada perselisihan faham. Isunya adalah soal sewa sebab sudah 10 tahun berada di sini dan kontrak juga sudah habis.
“Kalau kita sambung sewa akan berlaku kenaikan serta segala kos lain yang perlu ditanggung,” katanya lapor Suara.com.
Agaverus berkata, pihaknya cukup terkesan akibat pandemik Covid-19 yang berlaku sejak tiga tahun lalu.
“Kita terus terang berdasarkan keadaan kewangan agak berat untuk kita melanjutkan operasi ini. Jadi kita memilih untuk menutup operasi,” katanya.
Menurut Agaverus, terdapat beberapa barang peribadi milik pemuzik berpengaruh dunia seperti Metallica, Megadeth, Slash dari Gun n Roses yang disimpan di kafe tersebut.
“Semua barangan ini adalah milik pemuzik yang pernah membuat persembahan di Indonesia,” katanya.
Selaras penutupan itu, pihak kafe akan memulangkan semula koleksi barangan berharga kepada ibu pejabat di Amerika Syarikat (AS).
“Suka atau tidak kita perlu pulangkan semula barangan itu ke ibu pejabat di Orlando, AS.
“Barangan peribadi itu merupakan hak milik antarabangsa dan syarat itu terpakai kepada semua cawangan kafe di seluruh dunia,” katanya.