Harapan tunai umrah berkecai

Harapan tunai umrah berkecai

BAKAL jemaah umrah yang menuntut pihak terlibat memulangkan wang masing-masing setelah rombongan ke Tanah Suci batal ketika ditemui pada sidang akhbar di Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sekumpulan bakal jemaah umrah yang dijadualkan ke Tanah Suci Mekah pada 2020 melahirkan rasa kecewa dan kesal ekoran impian untuk menunaikan ibadah itu kini berkecai.

Lebih menyedihkan, wang sebanyak RM2,990 yang dibayar oleh peserta berusia 13 hingga 70 tahun untuk menyertai pakej umrah tersebut juga belum dipulangkan walaupun setelah lima tahun berlalu. 

Salah seorang daripada mereka, Azlina Abdullah, 53, memberitahu, mereka mendaftar untuk menunaikan ibadah tersebut melalui seorang wanita dipercayai ejen kepada sebuah yayasan yang menguruskan umrah itu pada 2018.

“Pada 2019, kami membuat bayaran sebanyak RM2,990 setiap seorang untuk menunaikan umrah dengan baki kos ditanggung melalui tajaan. Ibadah itu dijadualkan pada 2020 tetapi kemudian ditunda dengan pelbagai alasan sebelum dibatalkan. 

“Ejen berkenaan yang juga seorang guru besar menguruskan satu penjanjian agar wang itu dikembalikan selepas aset yayasan itu dijual. Namun sehingga kini tiada apa-apa jawapan daripada mereka,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau yang juga seorang peniaga berkata, sebanyak 38 bakal jemaah menyertai pakej umrah itu yang kebanyakannya merupakan guru dan ahli keluarga mereka.

“Seperti saya, kami sembilan ahli keluarga turut serta dalam pakej ini. Dua peserta termasuk bapa saya juga sudah meninggal dunia tetapi kes ini belum selesai,” katanya yang turut membuat laporan polis pada tahun lepas.

Menurut Azzuriyati Murni Abdullah, 37, yang juga seorang guru, paling dikesali adalah sikap pihak terlibat yang dilihat lepas tangan dalam hal tersebut setelah kali terakhir mereka berhubung melalui Google Meet pada Jun tahun lalu bagi mendengar penjelasan pihak berkenaan.

“Kami memilih yayasan tersebut kerana sebelum ini mereka juga menguruskan rombongan lain ke Mekah, malah ke London dan tidak ada masalah. Perkara itu yang menyebabkan kami tertarik untuk ikut serta,” katanya.

Tambahnya, selain pakej umrah dia turut menyertai rombongan ke Perth, Australia yang dianjurkan oleh yayasan sama dan membuat bayaran lebih RM2,000, namun trip tersebut juga batal yang menyebabkan dia kerugian lebih RM5,000.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Azham Abdullah, 41, seorang juruteknik memberitahu, mereka tujuh sekeluarga mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM20,930 kepada yayasan terlibat untuk menyertai rombongan itu.

“Kecewa sangat dengan tindakan yayasan itu sehingga kini kami gagal menunaikan umrah dan duit kami lesap entah ke mana. Ayah dan bapa mertua saya juga sudah meninggal dunia. Kami harap pihak terlibat menyelesaikan perkara ini dan memulangkan semula wang kami,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya