PERNAH mencipta nama dalam rancangan realiti popular Big Stage musim keempat tahun lalu, bintang kelahiran Brunei, Syafiq Abdilah kini muncul dengan lagu baharu berjudul Kekal.
Lagu tersebut kata Syafiq, adalah sebuah karya yang indah dan menyentuh perasaan serta sangat berbeza dengan karya pertama yang pernah dihasilkan dahulu.
“Saya juga sangat teruja untuk melihat penerimaan pendengar terhadap bunyi baharu ini yang lebih matang dan berbeza,” katanya.
Syafiq berkata, Kekal yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia menceritakan perasaan yang dilalui oleh seorang bagi memahami erti cinta sejati.
“Ia menggambarkan keinginan untuk seseorang itu kekal dalam hidup kita dan ingin menghabiskan seumur hidup bersama orang tersebut,” jelas Syafiq.
Biarpun tidak terlibat dalam proses penulisan lagu ini, tetapi kata Syafiq, pencipta dan penulisnya menyampaikan pesanan dalam lagu ini dengan cukup sempurna.
“Semua yang terlibat dalam proses ini sangat menyokong dan membantu. Saya berasa selesa dalam bilik rakaman.
“Sesi rakaman hanya mengambil masa sehari semasa dilakukan pada hujung 2021,” tambahnya.
CABARAN HASILKAN LAGU
Lagu ini juga disertakan dengan sebuah video muzik arahan Harith Zazman dan hanya mengambil masa selama dua hari.
Namun begitu, terdapat cabaran utama untuk menyiapkan lagu serta muzik video ini kerana kekangan jarak.
“Buat masa ini saya masih menetap di Brunei. Jadi jika ada kerja atau projek yang terpaksa dilakukan saya perlu terbang ke Malaysia untuk menyiapkannya,” katanya.
Syafiq juga berharap pendengar dapat merasakan intipati yang disampaikan dalam lagu ini.
“Semoga satu hari nanti, ia akan menjadi runut bunyi buat kisah cinta nyata pendengar sejagat,” katanya.
Dicipta dan ditulis oleh John Jeeves, Ikhwan Fatanna, Omar K, dan Pique, lagu ini juga disusun dan diterbitkan oleh John Jeeves bersama Omar K sebagai penerbit bersama.
Kekal boleh dimuat naik di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music