BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati dua daripada tiga beradik yang dipercayai menjadi mangsa dera dalam kejadian di Perlis bersekolah di sekitar negeri itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semakan rekod menunjukkan dua beradik itu hadir ke sekolah, namun kes itu masih dalam siasatan.
“Kita dapati mereka ada yang bersekolah dan kes ini masih dalam siasatan merentas pelbagai kementerian.
“Bagi pihak kami, saya baru dapat makluman mereka memang ada bersekolah di beberapa sekolah sekitar Perlis dan kita akan pastikan perkembangan ketiga-tiga kanak-kanak ini akan diambil perhatian sepenuhnya sebab mereka sudah diletakkan di institusi jagaan.
“Memandangkan (isu) ini sudah jadi kes lain, siasatan lain, jadi kita serahkan kepada kebajikan (JKM) dan pihak kementerian lain sebelum kita ambil dan urus di peringkat pendidikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan status pendidikan tiga beradik berkenaan.
Terdahulu, Fadhlina melancarkan projek Smart Classroom Yayasan Aeon Malaysia dan Yayasan Didik Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkuang, Bukit Mertajam di sini.
Kelmarin, tiga beradik terbabit ditemui orang awam dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dengan dua daripadanya masih diikat rantai pada kaki kira-kira pukul 11.55 malam.
Ketiga-tiga remaja itu dipercayai telah dikurung dan dirantai di dalam sebuah rumah oleh ibunya yang tidak bersama mereka.
Difahamkan, hanya remaja yang berusia 16 dan 14 tahun sahaja yang bersekolah manakala seorang lagi yang berusia 13 tahun keciciran dalam pelajaran. – UTUSAN