PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program Jom Ziarah Gereja oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Difahamkan Hannah bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo hadir ke IPD Sentul pada pada 5.30 petang.
Ahli Parlimen Segambut itu selesai memberi keterangan kira-kira satu jam kemudian.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil Hannah bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program Jom Ziarah Gereja.
Katanya, pihak polis akan merakam keterangan Chegubard (Badrul Hisham Shaharin), hari ini bagi membantu siasatan.
“Kita sudah merakam keterangan tiga individu, yang terdiri daripada pengadu dan dua wakil NGO bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, dua laporan polis diterima berkaitan isu berkenaan,” katanya.
Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023, bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan, program ‘Jom Ziarah Gereja’, yang sepatutnya berlangsung Sabtu lalu, tidak membabitkan individu beragama Islam.
Beliau dilaporkan berkata, program itu juga bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata. – UTUSAN