Hail Amir pernah dapat bayaran RM50-60 satu persembahan

Hail Amir pernah dapat bayaran RM50-60 satu persembahan

DATUK Hail Amir bercakap ketika sidang akhbar The Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) Konsert Sepanjang Zaman di Traders Hotel, baru-baru ini. UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI antara kita yang membesar dengan lagu-lagu dendangan penyanyi veteran, Datuk Hail Amir, 75. 

Antaranya yang malar segar, Wajah Kesayangan Hamba, yang sinonim dengan  masyarakat kita dan sering dinyanyikan dalam acara berkaraoke sempena majlis perkahwinan.

Besar sumbangan penyanyi kelahiran Pulau Pinang ini kepada industri seni tanah air.

Pada zaman kegemilangannya, Hail atau nama sebenar Abdul Hail Amir mewarnai industri muzik tempatan dengan kemerduan suara mendendangkan lagu-lagu romantis. Era 70 dan 80-an cukup menjentik nostalgia.

Penyanyi bertaraf legenda ini baru-baru ini membuat kemunculan di majlis sidang media konsert Raya Sepanjang Zaman anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia baru-baru ini dinanti ramai.

Lengkap berbaju Melayu hijau, Hail Amir menceriakan suasana dengan telatahnya yang menghiburkan.

Dalam suasana serba santai, bapa empat cahaya mata ini menceritakan pengalaman ketika awal penglibatan dalam bidang muzik. 

Beliau kongsikan kenangan usia muda, ketika menyertai sebuah kumpulan muzik yang sering membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan.

“Saya tahu bermain gitar. Kemahiran tersebut membuatkan saya terpilih sebagai pemain gitar untuk kumpulan muzik tersebut. 

“Kami menerima banyak jemputan untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan. Kami diberi bayaran antara RM50 hingga RM60 bagi setiap persembahan.

“Ketika itu, tidak seorang pun antara kami yang memiliki kereta. Justeru, kami terpaksa menyewa lori untuk mengangkut peralatan muzik ke majlis perkahwinan,” katanya.

Bermula sebagai penari

Tidak ramai yang tahu bahawa Hail Amir satu ketika dahulu cukup aktif dalam seni tari. Kata beliau, bidang tersebut merupakan kerjaya awalnya sebelum melangkah ke dunia nyanyian dan lakonan.

“Saya bermula sebagai penari dibawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

“Kerjaya itu memberi berpeluang kepada saya untuk membuat persembahan di negara lain seperti Burma, London, Filipina, Indonesia, Kuwait dan banyak lagi,” kongsinya. 

Hail Amir menganggap aktiviti seni sebagai ubat kegembiraan buat dirinya. Justeru katanya, sejak remaja lagi, dia tidak pernah berdepan darah gemuruh atau kerisauan ketika membuat persembahan di atas pentas.

“Saya selesa membuat persembahan di atas pentas, tidak timbul rasa gemuruh.

“Kesenian adalah aktiviti yang menggembirakan saya. Saya rasa hidup cukup membosankan kalau tidak menyanyi, menari dan menghiburkan orang,” ujarnya.

Gelagat peminat ekstrem

Ketika mengecap populariti sekitar era 70 dan 80-an, Hail menjadi antara penyanyi dan pelakon yang sangat digilai peminat perempuan. Pengalaman berdepan gelagat peminat antara yang diceritakan beliau dalam wawancara yang diadakan bersamanya di majlis tersebut.

“Kelakuan peminat, lebih-lebih lagi yang wanita pada masa dahulu agak ekstrem. Sanggup tolak menolak sesama sendiri semata-mata nak bersalaman dengan artis pujaan mereka.

“Autograph artis pada zaman itu amat tinggi nilainya. Setiap kali datang menyaksikan persembahan, peminat akan hadir membawa buku untuk mendapatkan tanda tangan artis,” katanya.

Kata penyanyi yang pernah menerbitkan 12 album ini, dia masih menyimpan surat-surat yang diberikan peminat ketika zaman kegemilangannya dulu sebagai tanda penghargaan terhadap pemberian tersebut.

“Pelbagai gelagat peminat saya saksikan menerusi surat-surat yang dihantarkan kepada saya ketika itu. Paling aneh surat yang disertakan wang dan rantai.

“Antara surat peminat yang paling mencuri perhatian saya adalah yang dihantarkan oleh seorang wanita yang bertanyakan ada atau tidak saya terima cincin yang ditinggalkannya di hotel saya menginap ketika membuat persembahan. 

“Semua surat itu masih tersimpan baik di rumah saya. Itu adalah tanda penghargaan saya buat peminat yang menyokong perjalanan seni saya,” katanya lagi.

Tidak abai kesihatan

Berdepan serangan jantung pada 2018 membuatkan penyanyi ini lebih berhati-hati dan sentiasa menjaga kesihatan. Kata Hail, dia enggan serangan itu kembali, justeru sentiasa memastikan kesihatan dalam tahap memuaskan.

“Serangan (jantung) itu adalah pengalaman yang cukup menakutkan saya. Selepas kejadian tersebut,  saya takut berjalan sendirian kerana khuatir berdepan serangan sama.

“Kini, saya sering memeriksa tahap kesihatan saya di Institut Jantung Negara (IJN) dan amalkan pengambilan ubat-ubatan yang disarankan doktor.

“Sekarang saya lebih berhati-hati dan selalu jaga pemakanan bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa keadaan yang baik,” katanya.

Percaya rezeki yang ditentukan

Ketika berbicara, Hail meluahkan rasa syukur atas kesudian masyarakat yang masih menghargai dan menerima kehadirannya dalam industri seni tanah air.

Beliau juga gembira kerana masih diberi kepercayaan dan undangan untuk menyanyi bukan sahaja dalam negara, malah Singapura dan Brunei.

“Saya tersentuh apabila ada pihak yang masih sudi memanggil saya membuat persembahan sampai ke hari ini. Malah, mereka juga sudi membayar dengan bayaran yang tinggi untuk melihat saya menyanyi.

“Kesempatan ini memberi peluang kepada saya untuk menjelajah ke merata tempat, termasuk Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.

“Alhamdulillah, rezeki dalam bidang nyanyian sentiasa ada dan saya tidak pernah tolak. Saya percaya kalau kita tolak rezeki, Tuhan marah kepada kita. Insya-Allah, semangat untuk menyanyi akan terus membara dalam diri saya,” katanya.

Album:

– Wajah Kesayangan Hamba (1976)

– Kabus (1977)

– Antara Matamu Dan Mataku (1977)

– Hujan (1977)

– Bergembira Di Hari Raya (1977)

– Menanti Hari Esok (1977)

– Apa Jawabnya (1978)

– Ku Kejar Bayanganmu (1980)

– Lain Dulu Dan Lain Sekarang (1985)

– Memori Hit Hail Amir (2006)

– Memori Hit Uji Rashid & Hail Amir (2009)

– Lagenda Hit Uji Rashid & Hail Amir (2010)

Filem:

– Jiwa Remaja    (1975)

– Cinta dan Lagu (1976)

– Menanti Hari Esok (1977)

– Dendang Perantau  (1979)

– Sesejuk Air Mata Ibu (1981)

– Anita Dunia Ajaib (1981)

– Ke Medan Jaya (1983)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya