PETALING JAYA: Pelakon, Haidar Hasanudin menafikan sekerasanya dakwaan kononnya dia memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dua minggu lalu.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan peguam mewakilinya, Peguambela dan Peguamcara Shaharudinali Azfarazmi & Co, Haidar berkata, tohmahan tersebut ditularkan oleh pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut bersamanya pada 15 Mac lalu.
“Anak guam kami menafikan sekerasnya bahawa dia memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan. Dia sudah memberikan segala kerjasama kepada polis.
“Bahkan dia tidak pernah ditangkap, ditahan reman atau disiasat kononnya atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, kemalangan melibatkan Haidar dan pihak tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Malah, pelakon itu sudah pun menyelesaikan masalah tersebut dengan membuat laporan polis untuk urusan tuntutan ganti rugi pembaikan kenderaan daripada syarikat insurans.
“Anak guam kami dengan penuh tanggungjawab mengakui kesilapannya terhadap individu yang terlibat, memohon maaf dan sudah melaporkan kejadian tersebut kepada polis mengikut saluran undang-undang yang benar.
“Bagaimanapun, anak guam kami kemudian dihubungi pihak tersebut yang meminta berjumpa bagi menyelesaikan kos pembaikan kenderaan dengan cara membayar ganti rugi tanpa melibatkan polis.
“Anak guam kami tidak bersetuju dan meminta pihak itu mengikut saluran undang-undang yang betul,” tambahnya.
Dalam pada itu, Haidar turut membuat laporan polis kerana berasa terancam selepas mendakwa terdapat unsur-unsur ugutan daripada individu tersebut.
“Akibat tidak memenuhi permintaan, individu itu bertindak menerbitkan perkongsian dalam beberapa platform media sosial dengan memuat naik gambar-gambar, video dan ucapan fitnah kononnya Haidar memandu dalam keadaan separa sedar.
“Lebih mengeruhkan keadaan, individu itu menghubungi beberapa rakan artis dan media dengan tujuan menjatuhkan reputasi Haidar,” kata kenyataan itu lagi.