Geng Rantau samun ‘ala beli-belah’ tumpas - Utusan Malaysia

Geng Rantau samun ‘ala beli-belah’ tumpas

Geng Rantau
HUSSEIN Omar Khan dalam sidang akhbar berhubung tangkapan Geng Rantau yang terlibat dalam jenayah samun sejak November tahun lalu, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan sekumpulan penyamun merompak ‘ala beli-belah’ tumpas apabila ditangkap polis selepas terlibat dalam tujuh kes samun sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sejak November tahun lalu.

Kumpulan digelar sebagai ‘Geng Rantau’ itu dikatakan cuba memecah masuk dari sebuah rumah ke rumah lain sebelum menyamun dan dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dekat salah sebuah rumah dalam kawasan yang disamun.

Lebih malang, kumpulan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia itu hanya mengutip RM55,000 dalam keseluruhan kes samun selepas menyasarkan rumah-rumah yang kurang kawalan keselamatan dan mudah dipecah masuk.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara modus operandi yang digunakan kumpulan terbabit adalah menggunakan perkhidmatan e-hailing atau menumpang kereta kawan untuk pergi menyamun.

“Maksudnya, dia boleh macam shopping jugalah, from one house to another house, kalau rumah ini tak berjaya, mereka akan pergi rumah seterusnya, jadi cepat, tak lama.

“Mereka dalam tiga, empat orang akan mencari rumah yang mudah dipecah masuk dengan bersenjatakan parang dan juga kerambit. Mereka akan mengikat mangsa dan menyamun barang-barang berharga seperti barang kemas, wang tunai, jam tangan dan melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menjelaskan, ahli Geng Rantau itu ditahan polis dekat sebuah rumah pangsa di Sungai Besi, Kuala Lumpur kurang enam jam selepas polis menerima aduan berkenaan kejadian samun daripada salah seorang mangsanya kira-kira pukul 3.12 pagi pada 6 Mac lalu.

Ketika serbuan, polis turut menemukan barangan milik mangsa serta senjata seperti pisau panjang, kerambit, pakaian serta sarung tangan dan kepala yang digunakan penyamun berusia 29 hingga 49 tahun itu untuk memecah masuk rumah mangsa.

“Siasatan dijalankan dengan bantuan Cawangan Forensik dan Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K9) bagi mendapatkan keterangan untuk mengesan suspek selepas kejadian berlaku selain rakaman CCTV yang berada di lokasi kejadian.

“Hasil soal siasat, suspek turut mengaku terlibat dalam kejadian samun bersenjata yang dilaporkan di Kajang pada 26 Februari lalu dan turut menjumpai satu barang kes yang dilarikan semasa kejadian tersebut dan beberapa kes lain masih dalam siasatan,” jelasnya.

Susulan itu, tambah Hussein lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK) dan Akta Imigresen 1959 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.

Sementara salah seorang pula didapati positif dadah jenis methaphetamin selepas ujian saringan air kencing dijalankan dan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tiga daripada mereka akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 395 dan 414 KK kerana rompaka secara berkumpulan dan melupuskan harta dicuri, sementara kesemua suspek juga akan turut dituduh Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) dan 5(1)(I) Akta Imigresen 1959.

“Hasil tangkapan, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dalam rumah di Selangor termasuk satu kes di Negeri Sembilan. Polis Selangor juga berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata dalam rumah kurang 24 jam selepas kejadian berlaku,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN