Gajikan PATI sebagai kru, 2 bot nelayan tempatan ditahan - Utusan Malaysia

Gajikan PATI sebagai kru, 2 bot nelayan tempatan ditahan

MARITIM Malaysia Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan kelas C di perairan Pulau Kendi semalam kerana melanggar syarat lesen dan menggajikan PATI sebagai kru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan kelas C kerana melanggar syarat lesen dan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat kira-kira pukul 11.30 pagi hingga 11.55 pagi semalam.

Katanya, Kapal Maritim Malaysia telah memeriksa dua bot nelayan tempatan kelas C yang sedang terapung pada kedudukan 59.2 kilometer Barat Laut Pulau Kendi.

Jelasnya, pemeriksaan awal mendapati, dua bot yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu masing-masing dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur antara 20 hingga 41 tahun.

”Hasil pemeriksaan lanjut, tekong dan kesemua kru dua bot itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kebenaran menggajikan kru warga asing manakala pemilik bot disyaki melakukan kesalahan kerana membenarkan warga asing tinggal di dalam bot kepunyaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran.

Sehubungan itu, jelas beliau, bot serta 10 kru berkenaan ditahan termasuk 1,000 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

Tambahnya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dilakukan.

”Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya