KANGAR: Pemilihan UMNO kali ini memperlihat gabungan barisan kepemimpinan yang mantap membabitkan muka baharu dan berpengalaman khususnya yang mengisi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, gabungan tersebut diyakini mampu kembali membawa UMNO bangkit dan meraih semula sokongan rakyat khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Dalam masa sama, katanya, bagi calon-calon yang tewas pula, mereka tidak perlu kecewa sebaliknya terus bersama melipat gandakan usaha bagi membantu parti.
“Usaha perlu dilipat gandakan ke arah meningkatkan momentum menarik golongan muda untuk bersama UMNO khususnya daripada aspek pengkaderan parti untuk menarik lebih ramai ahli terutama anak muda untuk terus bersama UMNO,” katanya di sini hari ini.
Pemilihan UMNO semalam menyaksikan penampilan dua muka baharu barisan Naib Presiden parti itu diisi oleh dua muka baharu iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Seorang lagi adalah penyandang jawatan itu iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mengesahkan kemenangannya.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang memperolehi 111 undi daripada 189 bahagian diikuti Khaled dengan 100 undi dan Johari pula mendapat 93 undi.
Bagi jawatan MKT, antara nama-nama besar yang menang ialah Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.
Mengulas lanjut, Kamarul Azman berkata, kemenangan calon-calon yang mengisi jawatan Naib Presiden khususnya menunjukkan kehendak akar umbi dalam menentukan barisan kepemimpinan.-UTUSAN