Filem Imam kupas realiti masyarakat

Filem Imam kupas realiti masyarakat Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAT pertama kalinya, novel Imam yang ditulis Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain dipersembahkan ke layar perak selepas ia diterbitkan hampir tiga dekad yang lalu.

Imam, filem yang digarap kemas pengarah, Mior Hashim Manap,  dihidupkan dengan kredibiliti pelakon-pelakon hebat seperti Datuk M. Nasir, Datuk Rahim Razali, Faizal Hussein, Vanida Imran serta pendatang baharu berbakat besar, Natasha Charmaine dan ramai lagi.

Ketika tayangan perdana filem ini di Istana Budaya, baru-baru ini, Mior menjelaskan tentang faktor yang menarik minat beliau untuk mengarahkan naskhah agung yang cukup terkenal ini.

Katanya, novel berkenaan sarat dengan pesanan dan kritikan untuk masyarakat. Justeru ia amat sesuai difilemkan agar mesej-mesej berguna di dalamnya dapat disampaikan dengan baik.

“Apa yang diceritakan dalam filem Imam adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Ia bukan kisah yang diada-adakan. 

“Imam mengupas tentang konflik sesama orang agama, orang politik dan mengkritik orang Melayu yang sampai hari ini, suka mencemuh sesama sendiri.

“Novel ini membuka ruang bagi pelbagai tafsiran, namun mesejnya ada di dalam filem ini. Imam adalah karya hebat seorang Sasterawan Negara. Saya hanya menyampaikan pemikiran beliau,” katanya.

Bagi yang pernah membaca novel Imam pasti maklum dengan pelbagai cerita dan kisah yang terkandung di dalamnya. 

Namun, Mior menjelaskan beliau enggan ‘memadatkan’ naskhah tersebut, sebaliknya sekadar meletakkan fokus-fokus tertentu  ketika mengadaptasi novel berkenaan sebelum ia diterjemahkan ke dalam  sebuah filem.

“Banyak isu yang dikupas penulis menerusi novel Imam yang tebalnya lebih 300 muka surat ini. Namun, apa yang telah dipertontonkan dalam filem adalah cerita-cerita yang telah dimampatkan.

“Terdapat watak yang tidak diceritakan dalam filem Imam, seperti watak Cina Muslim, India Muslim, Inggeris dan banyak lagi. Saya hanya ingin memfokuskan konflik antara Haji Samsuri dan Haji Mihad.

“Kalau semua cerita kita masukkan dalam filem ini, kelak ia akan hilang tumpuan dan bertukar menjadi sebuah naskhah rojak,” katanya lagi.

Inspirasi ayah untuk Mihad – M. Nasir

Keberkesanan lakonan M.Nasir yang membawa watak Mihad menerusi filem ini harus diberikan pujian.

Kata penyanyi dan pelakon berusia 65 tahun itu, beliau merujuk salah seorang ahli keluarganya yang juga seorang Imam masjid untuk menghidupkan watak berkenaan.

“Watak Imam diinspirasikan daripada ayah saya. Sebab itu, saya cukup kenal watak Mihad dalam filem ini.

“Dialog Mihad sudah ada dalam fikiran, ia bukan perkara baru bagi saya.

“Manakala isu yang dikupas dalam filem ini juga bukan isu baru, malah diperkatakan sejak sekian lama. Saya pula mengikutinya sejak dulu,“ katanya.

Mengulas lanjut, pengalaman lampau banyak membantu dia mewarnakan watak Mihad. 

“Cerita yang dipaparkan dalam filem ini dekat dengan saya kerana saya sendiri pernah melihatnya berlaku dahulu.  Konflik yang tercetus antara orang Melayu, Islam sekitar era 80-an.

“Saya harap penonton dapat menerima Mihad yang saya interpretasikan dengan cara saya,” jelasnya.

Sarat mesej berguna – Faizal Hussein

Filem Imam sarat dengan pelbagai mesej berguna untuk masyarakat. Justeru, pelakon, Faizal Hussein berharap penonton dapat memberi sokongan kepada filem tersebut yang telah menjengah pawagam pada 3 Mac yang lalu.

“Imam menceritakan apa yang berlaku dalam masyarakat, di sebuah kampung sekitar era 80-an.

“Itu adalah metafora kepada pelbagai mesej yang ingin disampaikan pengarahnya, yang mana berkait rapat dengan masyarakat dan persekitaran kita dari dahulu hingga sekarang.

“Saya harap penonton dapat menerima filem ini dan faham akan mesej yang cuba disampaikan,” katanya.

Disoal tentang gandingan bersama M. Nasir, Faizal menyifatkan ia sebagai pengalaman berharga dan menyeronokan.

“Setiap kali digandingkan dalam filem, kami akan bawa karakter bertentangan. 

“Orang sanjung M. Nasir sebab watak hero, benci saya sebab watak antagonis. Begitu juga sebaliknya.

“Itu adalah warna yang cuba kami lukiskan dalam setiap watak yang kami bawakan. Kami harap penonton terhibur,” ujarnya.

Tidak boleh kata tidak untuk filem Imam – Vanida Imran

Pelakon, Vanida Imran amat dikenali dengan ketelitiannya terhadap skrip sebelum menerima tawaran untuk berlakon  sesebuah filem dan drama. 

Namun, Vanida mengakui dia tidak boleh menolak tawaran yang diberikan untuk membawa watak Rubiah dalam Imam kerana adanya pengarah dan barisan pelakon hebat yang turut menjayakan filem ini.

“Tiga faktor yang mendorong saya mengatakan ya untuk filem ini. Pertama kerana Mior, kedua naskhah cerita dan ketiga, barisan pelakon.

“Saya tidak selalu dapat berlakon dengan barisan pelakon seperti ini dalam sebuah filem atau drama. Jadi saya anggap peluang sebegini harganya terlalu mahal.

“Pengalaman duduk semeja, bersembang dengan nama-nama bertaraf ‘otai’ adalah terlalu berharga,” katanya.

Mengulas tentang gandingan bersama Faizal Hussein dalam Imam, Vanida mengakui keselesaan yang tercipta hasil kerjasama terdahulu banyak membantu dia dan pelakon tersebut menghidupkan babak yang melibatkan mereka dalam filem ini.

“Kami sering digandingkan dalam drama sebelum ini. Jadi saya selesa berlakon dengan Faizal dalam filem ini.

“Kami kenal lama, sehinggakan apabila bekerjasama, kami senang tangkap permainan emosi masing-masing. Keselesaan dan keserasian antara kami  banyak membantu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Vanida menyuarakan keyakinan bahawa filem Imam mempunyai kekuatan yang bakal menarik penonton muda dan dewasa untuk datang ke panggung dan menonton filem berkenaan. Katanya, cepat atau lambat, sambutan terhadap filem tersebut pasti ada.

“Bukan semua filem menjanjikan kutipan pecah panggung. Dalam perkara ini, saya berserah kepada rezeki yang telah ditentukan Tuhan.

“Kita tak pasti apa yang membuatkan penonton datang menyaksikan Imam di pawagam. Ia perkara yang subjektif. Tetapi saya percaya, filem yang baik, lambat atau cepat, pasti meletup. 

“Sebagai pelakon, kami laksanakan peranan kami dengan mempromosikannya di media sosial. Selebihnya, kita serah kepada Tuhan,” jelasnya.

Teruja berlakon dengan pelakon berpengalaman – Natasha Charmaine

Bukan mudah untuk pelakon baharu bergandingan dengan barisan pelakon hebat berpengalaman dalam filem. 

Tuah menyebelahi pendatang baharu, Natasha Charmaine yang ditawarkan untuk membawa antara peranan penting dalam filem Imam disamping M. Nasir, Rahim, Faizal dan Vanida.

Peluang sebegitu tidak wajar dilepaskan. Anak kelahiran Sarawak ini membuktikan kemampuan lakonan apabila berjaya membawa watak Siti Nur Aisyah dalam filem tersebut.

“Saya masih baru dalam industri, tentu sekali saya teruja apabila dapat berlakon dengan barisan pelakon handalan. Gementarnya masih saya rasakan hingga sekarang.

“Begitu juga bekerja dibawah arahan Mior, ia peluang cukup besar dan berharga. 

“Saya harap penonton dapat terima lakonan saya dan semoga ini bukan filem terakhir saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN