Fatwa isytihar SIS Forum sesat masih sah

Fatwa isytihar SIS Forum sesat masih sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Fatwa yang mengisytiharkan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam masih lagi sah.

Ia selepas Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak rayuan pertubuhan tersebut atas alasan rayuan mereka untuk membatalkan fatwa tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

Keputusan tersebut dibuat dengan majoriti 2-1 yang mana Datuk Has Zanah Mehat yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan itu dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menyokong manakala Hakim Datuk M. Gunalan menentang.

Penghakiman tersebut dibacakan pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Terdahulu ketika membaca penghakiman majoriti, Hakim Che Mohd. Ruzima menyatakan, rayuan SIS Forum tidak mempunyai sebarang merit.

Selain itu, keputusan majoriti itu juga mendapati tiada sebarang kekhilafan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mahkamah Rayuan campur tangan.

“Di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran, responden pertama (Jawatankuasa Fatwa) diberikan kuasa untuk menghasilkan satu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan kontroversi berhubung hukum syarak. 

“Oleh kerana kuantum fatwa itu berpaksikan kepada ketetapan di bawah hukum syarak maka segala pertikaian dengan isu kandungannya berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil.

“Kami secara majoriti mendapati bahawa tidak ada merit dalam rayuan pihak pemohon yang mewajarkan kami untuk campur tangan di peringkat rayuan. dengan itu rayuan adalah ditolak dan penghakiman Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, ketika membaca penghakiman menentangnya, Hakim Gunalan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman (judicially appreciate) bahawa responden pertama (Jawatankuasa Fatwa) telah bertindak melangkaui bidang kuasanya.

“Saya berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan bahawa responden pertama boleh mengeluarkan fatwa terhadap organisasi tersebut. Pada pendapat saya, Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai sebarang asas untuk membuat dapatan bahawa fatwa tersebut terpakai terhadap organisasi tersebut hanya kerana mereka yang mengendalikan pertubuhan itu adalah Muslim,” kata hakim itu.

Pada 27 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah.

Selain itu, Hakim itu juga menyatakan isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Hakim itu juga menyatakan SIS Forum tidak kebal daripada fatwa berkenaan kera pertubuhan dan pengarah organisasi itu adalah beragama Islam dan aktiviti mereka mempunyai kaitan dengan undang-undang Islam.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, MAIS dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang membuat arahan melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi supaya menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘company limited by guarantee’ tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya