PETALING JAYA: Pelakon, Aidil Aziz memaklumkan isterinya yang juga pelakon, Fasha Sandha mengalami kesukaran untuk menggerakkan mata kirinya berpunca daripada keretakan tulang dan masalah tisu dalaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aidil berkata, dari segi luaran, bengkak di bahagian mata kiri s semakin susut dengan ketara dan tiada bahagian koyak yang perlu dijahit.
“Kami masih menunggu rawatan dan pemeriksaan susulan daripada pihak doktor. Cuma dia ada mengadu sakit bila cuba menggerakkan mata kiri. Impak hentakan itu agak kuat.
“Tulang mata kirinya patah dan beberapa bahagian tisu dalam koyak. Tetapi tiada bahagian wajah yang perlu dijahit. Cuma masalah dalaman sahajalah.
“Secara fizikal Fasha semakin baik. Bengkak juga sudah berkurang. Fasha juga berada dalam keadaan tenang dan positif. Berkat doa dan kata-kata semangat daripada semua,” ujarnya.
Terdahulu, Fasha dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas mata dan kepalanya terhentak di bucu katil semasa menjalani penggambaran Anak Tuan bersama pelakon, Azhan Rani.
Akibat hentakan itu, tulang mata bahagian kiri dramatis itu patah dan bebola mata kirinya berdarah serta bengkak sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar di Johor Bahru.
Dalam pada itu, ditanya tentang keadaan anak-anak, Aidil bersyukur kerana mereka sangat memahami situasi yang berlaku dan sentiasa menemani Fasha walaupun masing-masing masih kecil.
“Bila tengok ibu mereka kuat, anak-anak pun automatik jadi kuat. Mereka tidaklah risau sangat. Mereka cuba memahami keadaan Fasha yang sedang sakit tetapi masih kecil untuk faham apa yang berlaku.
“Fasha sangat kuat, dia sentiasa positif. Ini kemalangan yang tidak disengajakan. Saya dan Fasha menerima ujian ini dengan hati yang terbuka, insya-Allah,” katanya.